Isnin, 16 Januari 2017

Tingkat Upaya Nuri Bakal dimulakan pada 2017

Selamat Tahun Baru 2017.

Majalah Airforce Monthly Isu 345 Disember 2016 melaporkan program tingkat upaya Nuri TUDM dan PUTD bakal dilaksanakan.

Program tingkat upaya ini antara program yang dalam perancangan ATM setelah ambil kira pembelian heli baru bagi menggantikan kesemua Nuri tidak dapat dicapai atas faktor kekangan bajet. Pembelian EC-725 sebanyak 12 buah daripada perancangan 28 unit adalah langkah awal dalam memastikan aset helikopter TUDM memiliki kemampuan yang dikehendaki bagi memenuhi tempo operasi semasa. Tetapi terdapat 27 buah Nuri masih lagi beroperasi dan kos gantian 27 buah Nuri sekaligus terlalu besar untuk ditampung negara.

Pakej tingkat upaya ini dilaporkan akan dilaksanakan oleh AIROD dengan kerjasama Heli One dan Universal Avionics. Kedua-dua kontraktor telah mengeluarkan kenyataan akhbar bersama pada Oktober 2016 melaporkan program tingkat upaya untuk Nuri Malaysia adalah melibatkan peningkatan sistem avionik Nuri. Peningkatan adalah seperti berikut :


  1. Empat (4) Paparan Penerbangan Termaju EFI-890H Mesra Gogel Pandangan Malam
  2. Satu (1) UNS-1Lw Sistem Pengurusan Pelbagai Misi
  3. Dua (2) Sistem Deria Rujukan Arah Altitud LCR-100
  4. Dua (2) Komputer Data Udara Thomson AC-32
  5. Dua (2) Rockwell Collins NAV-4000s
  6. Pencari Arah DF-938
  7. Komputer Misi EuroAvionics EuroNav 7
  8. Radar RDR-1600
Contoh paparan digital EFI 890H di kokpit Falcon 900B Kredit foto www.duncanaviation.aero/
Radar RDR-1600 Kredit foto www.telephonics.com

Sampel paparan digital EFI-890H dalam mod radar Kredit Foto www.uasc.com





Berdasarkan senarai kelengkapan ini, adalah dijangkan helikopter Nuri akan mampu melaksanakan tugasan sehingga 15 tahun lagi. Sekaligus dengan sistem avionik ini membolehkan helikopter Nuri melaksanakan penerbangan di waktu malam dan cuaca buruk dengan lebih baik. Antara ciri-ciri paparan digital ini adalah seperti mampu menyokong aplikasi peta bergerak, infra merah, haba dan lain-lain lagi.

Kelengkapan ini juga membolehkan Nuri melaksanakan operasi carilamat kerana keupayaan Nuri dengan radar RDR-1600 membolehkan pengesanan bot-bot kecil di laut beserta kemampuan dalam cuaca ekstrem dalam mengesan suar atau mata arah radar/radio.

TUDM dilaporkan masih mengoperasikan 15 buah Nuri dan PUTD pula bakal dan telah mengoperasikan sehingga 12 buah Nuri. Jika 27 buah Nuri ini ditingkat upaya, sekaligus tempo operasi dan keupayaan TUDM dan PUTD digandingkan dengan aset-aset sedia ada seperti EC-725, A-109 dan MD530G akan meningkat.


Sikorsky S-61 Nuri milik PUTD - Kredit Foto hiveminer.com

Adalah dijangkakan, jika semua berjalan lancar, AIROD akan pamerkan helikopter Nuri pertama dengan kelengkapan terkini ini di LIMA 2017. Pastinya, di sana akan diumumkan nilai projek tingkat upaya ini bagi makluman semua.





Isnin, 2 Mei 2016

DSA 2016 - Ringkasan Perolehan

Tahun ini, di DSA 2016 yang berlangsung pada 18 sehingga 21 April lalu menyaksikan beberapa kontrak perolehan seperti berikut :

222 buah Trak 3 Tan GS Kargo diperolehi - Foto Internet (Motoring-Malaysia.blogspot)
  1. Perolehan 222 buah trak tan GS daripada DRB-Hicom Defense Technologies Sdn. Bhd. (Deftech) dan alat ganti dan servis untuk PT-91M oleh Defense Services S/B bernilai RM333 juta.
  2. Kontrak perolehan sistem Starstreak beserta komponen radar dan pelbagai jenis pelancar bernilai RM897 juta dengan Global Komited Sdn. Bhd.
  3. Kontrak perkhidmatan sewa helikopter untuk latihan oleh TUDM berjumlah RM74 juta dengan Gading Kasturi Sdn. Bhd.
  4. Kontrak sistem pengawasan pelabuhan dan pengesanan bawah air berjumlah RM24 juta dengan Puncak Teknologi (M) Sdn. Bhd.
  5. Kontrak sistem simulasi latihan `virtual' maya untuk Tentera Darat bernilai RM53 juta dengan Flumen Technologies.
  6. Kontrak pembelian 6 buah heli tinjauan/tempur ringan MD530G bernilai RM321 juta dengan Halaman Optima Sdn. Bhd,
  7. Projek Selenggara komprehensif atau `Refit' untuk dua kapal selam TLDM Kelas Tunku Abdul Rahman berjumlah RM1.17 bilion dengan Boustead DCNS Naval Corporation Sdn. Bhd.
  8. Surat terima 22 buah trak 5 tan GS 4x4 untuk Tentera Darat dengan AVP Engineering Sdn. Bhd. bernilai RM15.4 juta.
  9.  Surat terima membekal helmet balistik FAST untuk Tentera Darat dengan Usahawan Pakaian Saling Erti Sdn. Bhd. dengan nilai RM34.5 juta.
  10. Surat terima dagang pertukaran (barter trade) peluru berpandu Otomat MK 2 dengan 8 unit EOFS bagi Skuadron Korvet ke-24 oleh Astra Permai Sdn. Bhd. dengan kos RM34.5 juta
  11. Surat Hasrat pembelian M109A5 SPG untuk Tentera Darat dengan Kerajaan Amerika Syarikat.

M109A5 Meriam Bawaan Kendiri atau `Self Propelled Gun) SPG . Foto Internet (www.doppeladler.com)

Jangkaan perolehan M109A5 ini mungkin sekitar 18-24 buah. Cukup untuk melengkapkan satu rejimen SPG. Rejimen ini akan digunakan untuk menyokong Rejimen Armor sebagai kuasa tembak sokongan apabila rejimen armor membuat serangan.

Berdasarkan sumber internet, M109A5 ini adalah versi dilengkapi meriam kaliber 32 M284 dengan kemampuan menembak menggunakan projektil tanpa bantuan sehingga 23.5 km dan menggunakan projektil bantuan tujahan sehingga 30km. Jarak jangkauan pergerakan SPG ini sehingga 350km. Kos sebuah melalui bantuan FMS Amerika Syarikat adalah sekitar USD300,000.00 bersamaan RM1.2 juta sebelum tingkat upaya, PP menjangkakan, kos keseluruhan untuk program ini mungkin akan cecah sehingga RM50-60 juta di mana kos melibatkan tingkat upaya sistem komunikasi, sistem kawalan medan tempur atau BMS (battlefield management system) serta pelbagai aspek lain seperti amunisi dan lain-lain.

Melihat pada kosnya yang agak berpatutan, adalah wajar TD menyesuaikan diri dengan doktrin yang bersesuaian memandangkan TD tidak pernah mengoperasikan SPG sebelum ini. Jumlah 24 buah ini akan membantu TD merangka pelan operasi yang bersesuaian dan doktrin yang mungkin dapat diperkemaskan sekaligus memantapkan operasi rejimen SPG di negara ini. Sehingga kini, TD memiliki aset seperti Adnan dan Gempita yang mencecah sehingga 500 buah. Adalah diharapkan pada masa hadapan, TD akan mula menggunakan kereta kebal dan SPG dipasang dalam negara sebagaimana Adnan dan Gempita. Ini akan membolehkan negara memiliki kepakaran dan industri yang menyokong keperluan TD untuk jangka masa panjang.

Secara ringkasnya, perolehan pada DSA 2016 memperlihatkan Kerajaan terus peka dan berterusan melaksanakan pelbagai program bagi memastikan ATM mampu menangani sebarang ancaman sama ada konvensional atau asimetri.


Khamis, 4 Februari 2016

MD 350G Heli Peninjau Bersenjata PUTD

Pada tahun 2015, beberapa blog melaporkan bahawa Kerajaan Malaysia telah berminat untuk mendapatkan enam buah helikopter peninjau untuk kegunaan ESSCOM. Keperluan ini selaras dengan komitmen Kerajaan dalam memastikan keselamatan Wilayah Timur Sabah tidak diganggu gugat oleh sebarang ancaman luar khususnya daripada pengganas Sulu.

Berita ini tidak disahkan secara rasmi sehinggalah baru-baru ini beberapa portal berita melaporkan bahawa PUTD bakal mengoperasikan enam buah helikopter buatan Amerika Syarikat iaitu MD 530G. Pesawat ini merupakan helikopter bersaiz kecil dilengkapi dengan sistem pemantauan dan sistem senjata bagi melaksanakan tugasan tinjauan serta serangan jika diperlukan.

MD 350G merupakan produk firma MD Helicopters Inc yang berpangkalan di Amerika Syarikat. Asalnya merupakan firma Hughes yang telah menghasilkan beberapa helikopter yang digunakan oleh seperti Hughes 269, 300, 500 dan 530F untuk kegunaan awam dan TH-55 Osage, OH-6 Cayues dan yang paling terkenal AH-64 Apache. Pada tahun 1984, McDonnel Douglas mengambil alih Hughes. Pada tahun 1997 pula, McDonnel Douglas diambil alih oleh Boeing dan pada tahun 1999, Boeing menjual aset syarikat berkaitan pembuatan helikopter kepada MD Helicopters Inc.

Antara produk yang dijual oleh Boeing termasuk hak milik produk MD 500E dan MD 530F helikopter dan MD 520N dan MD-600N. Apache pula dikekalkan hak penjualan oleh Boeing sendiri.

Ini bermakna, MD Helicopters memiliki kepakaran dalam memastikan produk-produk mereka adalah yang memuaskan keperluan operasi berdasarkan pengalaman menghasilkan produk-produk helikopter ringan lebih 50 tahun lalu.

Hughes 500, tahun pengeluaran 1980 (Foto :Peek Helicopters)

Antara yang menarik, helikopter ini adalah watak utama dalam drama-drama atau filem Hollywood seperti Airwolf atau Blue Thunder. Helikopter ini adalah pemburu utama Airwolf dalam kebanyakan episod dan digambarkan sebagai helikopter penyerang yang cukup berbisa.

Banyak negara menggunakan Hughes MD500 Defender sebagai  helikopter gempur sebelum kewujudan helikopter gempur khusus seperti Mangusta, Tigre dan Apache. Helikopter ini lazimnya dilengkapi dengan mesingan atau meriam 20mm beserta sistem roket dalam sistem persenjataan utama.

Helikopter Hughes MD500 Defender milik tentera Kenya dan Harbin Z9WA (Foto :Beegeagle's Blog)

Helikopter ini juga digunakan oleh SOCOM atau pemerintahan pasukan khusus Amerika Syarikat dengan nama gelaran Little Bird atau AH-6. Antara adegan paling menarik dalam filem Black Hawk Down di mana Little Bird adalah pesawat yang digunakan oleh tentera Amerika dalam menggempur militia Somalia dalam operasi menyelamat.

Aksi Little Bird dalam filem Black Hawk Down (Foto: Rotary Action)
Persoalan utama ialah adakah helikopter MD 350G, memiliki fungsi yang sama dengan produk-produk terdahulu? Kenapa Kerajaan memerlukan 6 buah helikopter ringan bersenjata sedangkan PUTD telah memiliki 11 buah A-109 yang memiliki kemampuan yang sama? Manakala, sistem persenjataan lengkap meriam Minigun 20mm (aka Gatlin Gun-sebagaimana ditulis di media perdana) juga dipasang pada helikoper A-109 dan Nuri yang beroperasi di ESSCOM?.

A109 dengan meriam Minigun (Foto Duzzillascalekit FB)
Nuri dan Minigun 7.62mm (Foto FB Panggilan Pertiwi)

Berdasarkan laporan beberapa portal blog dan berita pertahanan tempatan, model Minigun ini ialah M134 yang menggunakan kaliber 7.62mm.

Berbalik kepada persoalan di atas, adakah berkesan pendekatan memasang senjata di pintu helikopter ini dalam memberikan sokongan udara aras rendah/dekat kepada pasukan sahabat? Pastihnya wujud risiko helikopter ini diserang balas oleh pihak musuh semasa melaksanakan serangan sokongan? Perlu diingatkan, pengganas Sulu masih menggunakan sistem persenjataan raifal dengan kaliber 7.62mm. Peluru ini memiliki daya penembusan yang cukup berbahaya kepada mana-mana helikopter pada aras rendah. A-109 dan Nuri perlu dalam keadaan apung apabila melaksanakan tembakan sokongan oleh kru helikopter. Pastinya kru akan terdedah kepada penembak curi dan kita sendiri sedia maklum, korban anggota keselamatan dalam tragedi Lahad Datu adalah daripada penembak curi mereka.

Pengganas Sulu, kelihatan mesingan berat M60, pelancar grenad dan senjata kaliber 7.62mm  (Foto mnlfnet.com)
Ternyata, konsep memasang persenjataan pada A-109 dan Nuri dilihat kurang ampuh dalam memastikan PUTD mampu melaksanakan tugasan tinjau dan gempur bersenjata secara efektif dan pada jarak selamat.

Helikopter MD 350G dilihat paling sesuai melaksanakan tugasan ini kerana dilengkap sistem deria optik dan kawalan senjata yang mampu dikendalikan oleh kru helikopter dan kejituan kuasa tembak dengan kelengkapan persenjataan lengkap seperti mesingan. meriam atau roket.

MD 350G, kuasa tembak yang menggerunkan (Foto Dan Megna/Vertical Magazine)
Bagi memudahkan bacaan, berikut adalah spesifikasi kelengkapan MD 350G :

Sistem Kawalan Tembakan dan Antaramuka


  1. Sistem Pengurusan Simpanan Persenjataan MooG Generasi Ketiga (perkakasan seperti sistem panduan tembakan menggunakan `joystick', sistem Paparan Digital Pelbagai Fungsi, diintegrasikan dengan sistem optik helikopter)
  2. Kepak Persenjataan MACE (empat stesen senjata boleh dipasang pada sistem ini, seperti kombinasi meriam, roket, peluru berpandu dan sebagainya, Kepak ini juga membawa bekalan minyak tambahan kepada helikopter)
Sistem Persenjataan
  1. Pod Roket RMP dan Pod Meriam  HMP 400 FN-Herstal
  2. Meriam Minigun Dillon Aero M134D
  3. Roket Panduan Laser Raytheon TALON
Sistem Tinjauan/Panduan

  1. Sistem deria L3 Wescam MX 10  dan sistem panduan Laser dilengkapi sistem panduan laser sehingga 10km, penstabil gyro dan sistem GPS.
Ada beberapa konfigurasi lain boleh dipadankan dengan helikopter ini, tetapi dengan sistem dan persenjataan yang ada, PUTD dapat melaksanakan tugasan tinjauan dan gempur serta sokongan aras rendah/dekat kepada pasukan  sahabat pada jarak yang selamat.

Helikopter ini dengan kelajuan terpantas pada 282km/sejam dengan jarak sehingga 426km mampu memberikan lonjakan kemampuan pada ESSCOM dalam memintas mana-mana musuh yang cuba menceroboh kedaulatan negara. Tambahan pula jika ditempatkan di dua pengkalan laut yang akan menambah kemampuan jarak jangkauan sedia ada sehingga ke titik sempadan negara.

Isnin, 18 Januari 2016

Sistem pertahanan aktif kereta kebal (APS)

Foto kereta kebal Leopard dengan sistem pertahanan aktif. Foto sumber internet (Infohow.org)

Ancaman kepada kereta kebal di masa kini adalah terlalu luas. Selain peluru meriam kinetik anti kereta kebal yang boleh ditembak kereta kebal musuh, kereta kebal juga perlu mampu bertahan dengan serangan sistem senjata anti kereta kebal yang digunakan di pelbagai platform. Sama ada dilancarkan oleh infantri, kenderaan armor atau kenderaan peninjau. 

Selain itu, selain ancaman di bawah seperti periuk api, terdapat juga sistem artileri jarak jauh dengan sistem panduan GPS dan radar yang boleh mencari dan memusnahkan kereta kebal dari atas.Bagi mengatasi segala ancaman sedia ada, teknologi pertahanan aktif merupakan satu teknologi baru yang dianggap boleh melindungi kereta kebal dari serangan segenap penjuru. Sistem yang dikenali dengan akronim APS yang bermaksud `Active Protection System' atau Sistem Perlindungan Aktif adalah teknologi terkini yang membolehkan kereta kebal dilindungi daripada segala bentuk ancaman.

Russia antara pelopor awal sistem sebegini selain Israel. Antara nama-nama sistem yang terkenal seperti Arena dan Trophy. Sistem ini menggunakan pelbagai deria untuk mengesan projektil atau peluru berpandu anti kereta kebal dan memintasnya dengan menggunakan projektik khas yang ditembak dari kereta kebal sendiri. Sistem ini adalah automatik sepenuhnya.

Bagaimana sistem Arena berfungsi. Sumber foto Internet (Wikipedia)

Penambahan sistem pertahanan APS ini digandingkan dengan sistem pertahanan armor reaktif, armor komposit, sistem penyerakan elektronik, sistem pertahanan pasif seperti serakan asap dan kilauan laser (untuk membutakan mata jurupandu peluru berpandu musuh) akan meningkatkan daya survival kereta kebal dalam pertempuran.

Bagaimanapun, keberkesanan sistem ini hanya sebahagian daripada kemampuan pasukan armor dalam melaksanakan gerakan serangan. Kemampuan kru kereta kebal dan kebijaksanaan ketua platun/kompeni kereta kebal juga kritikal dalam melaksanakan gerakan serangan.

Kereta kebal juga perlu sentiasa disokong oleh unit-unit infantri mekanis (lazimnya) yang akan menaiki kenderaan tempur sebelum mereka keluar dan melaksanakan gerakan pengepungan sasaran dibantu kuasa tembak armor.

Ruang udara juga mesti bebas dari ancaman pesawat musuh bagi memastikan tempo operasi tidak terganggu oleh serangan udara.








Kapal Korvet Halimunan ASW Kamorta - INS Kadmatt beroperasi

Tentera laut India secara rasmi telah menerima kapal korvet halimunan peperangan anti kapal selam (ASW) Kelas Kamorta iaitu INS Kadmatt baru-baru ini. Ini adalah kapal projek 28 (P28) kedua yang berjaya dibangunkan oleh India sendiri.

Kapal seberat 3500 tan dan sepanjang 110 meter ini memiliki pelbagai peralatan dan sistem yang sesuai untuk memburu kapal selam, antaranya :


  1. Sonar Hadapan Kapal Terkini
  2. Radar Pengesanan Udara Revathi dengan jarak jangkauan sehingga 200 km.
  3. Tatasusunan Sonar Aktif Ditunda (Active Towed Array Sonar)
  4. Kelajuan sehingga 25 knot
  5. Julat operasi sehingga 3500 batu nautika
  6. Hangar helikopter ASW
Kapal yang ditakrifkan sebagai korvet ini memiliki kuasa tembakan seperti berikut :


  1. Selaras meriam utama Oto Melara 76mm 
  2. Dua meriam sistem senjata jarak dekat AK-630M CIWS
  3. Dua pelancar roket ASW RBU-6000
  4. Dua pelancar kembar tiga torpedo
  5. 16 pelancar menegak Barak untuk anti pesawat
  6. 8 pelancar 3M54 Klub peluru berpandu anti kapal
Adalah satu perkembangan menarik, kapal yang dikelaskan korvet ASW memiliki keupayaan peperangan anti pesawat dan permukaan juga. TLDM perlu melihat keperluan meningkat upaya 6 buah PV Kelas Kedah yang buat masa ini hanya ada satu meriam utama dan dua meriam sekunder. Program tingkat upaya ini jika dilaksanakan untuk keenam-enam PV Kelas Kedah ini akan melonjak kuasa tempur TLDM pada satu tahap yang lebih mantap.

INS Kadmatt - Sumber foto Internet (Indian Navy/NavyRecognition)

Kelas Kedah PV - Sumber foto Internet (Jejaktapak)

Tahun 2016, ancaman keselamatan dan ekonomi buat Malaysia

Tidak dapat dinafikan, permulaan tahun 2016 bukanlah permulaan yang baik. Kesan ekonomi dengan kejatuhan harga minyak sehingga bawah USD30 setong telah menyebabkan negara kehilangan sumber pendapatan utama dari segi eksport minyak. Menambah luka pula, komoditi seperti  minyak sawit dan getah juga mengalami penurunan dan ini menyebabkan kerajaan terpaksa membuat kajian semula bajet akibat penguncupan pendapatan ini.

Ancaman pengganas juga semakin meningkat sejak akhir ini, terutama penglibatan Daesh atau dikenali juga dengan IS. Blog ini akan menggunakan Daesh kerana penggunaan IS adalah mencemar nama Islam sendiri. Aktiviti keganasan global dengan serangan di Paris, Istanbul dan terkini Jakarta menunjukkan gerakan ini semakin ke hadapan.

Berbeza dengan Al-Qaeda, sel Daesh lebih kompleks dan kemajuan komunikasi dengan medium sosial seperti Facebook, Tweeter dan lain-lain membolehkan arahan dan komunikasi antara pihak pengganas dapat dilaksanakan secara efektif dan sukar dihidu pihak berkuasa.

Malaysia sendiri tidak terkecuali, ancaman keganasan oleh Sulu masih lagi belum dapat dibendung dan akibat daripada entiti ini berlindung di negara jiran, sebarang usaha untuk memusnahkan mereka pasti memerlukan kerjasama rapat antara kedua pihak dan ini bukan sesuatu yang mudah.

 
Kekangan kewangan juga menyebabkan peruntukan keselamatan perlu diuruskan dengan lebih baik. Ini adalah kritikal kerana setiap perbelanjaan perlu beri kesan impak maksima kepada keberkesanan pasukan keselamatan.
 

PDRM dengan Cawangan Khas selaku mata telinga dalam menghidu sebarang ancaman dalam perlu dilengkapi dengan keupayaan menganalisa sebarang ancaman berdasarkan data sumber perisikan yang terkumpul sekian lama. Ini membolehkan mereka mengenal pasti pola ancaman dan memastikan sebarang usaha menggugat keamanan  dapat disekat sebelum mendatangkan padah.

Kereta peronda PDRM dengan corak terkini. Sumber foto Internet (Sembang-Auto)

Kenderaan armor Streit MRAP Typhoon PDRM, digunakan oleh Unit Tindakan Khas Sumber foto Internet (syarkghost.blogspot.my)
Aset-aset baru ini yang diterima PDRM ini membuktikan Kerajaan masih mampu memperuntukan bajet untuk menjamin keselamatan negara tidak dikompromi. Bagi penulis, selain aset-aset seperti kenderaan, anggota PDRM juga harus bijak terutama dalam menggunakan teknologi serta memiliki kemahiran dan sentiasa diasah kemahiran dalam pelbagai bidang seperti IT, komunikasi dan ini harus dipupuk oleh setiap peringkat balai dan IPD serta IPK. Mungkin perlu juga pembangunan modal insan ini dapat diadakan pelbagai inisiatif agar anggota sentiasa segar dan waspada pada persekitaran khususnya dalam kenalpasti bentuk ancaman sama ada jenayah ataupun keganasan.

Manakala, ATM juga turut menerima beberapa aset untuk melaksanakan tugasan mereka, antara yang perlu diberi perhatian ialah aset-aset untuk ESSCOM. Dua buah platform terapung iaitu Tun Sharifah Rodziah dan Tun Azizan telah beroperasi di Sabah bagi memastikan kemampuan tindak balas pasukan keselamatan lebih tinggi dengan kewujudan platform sebegini.

Pengkalan laut Tun Sharifah Rodziah. Sumber foto Internet (Joint Force/malaysiandefence.com)
 Selain itu, dilaporkan ada pembelian radar dan helikopter bagi menampung keperluan operasi semasa di sana. Antara yang agak menarik adalah kelengkapan sistem persenjatan infantri pasukan khas negara yang telah dinaik taraf agar mampu memiliki keupayaan menentang pengganas dari jarak jauh serta kuasa tembak yang tinggi. Perolehan raifal tempur 7.62mm mula memenuhi inventori pasukan keselamatan dan ini satu perkembangan yang cukup baik.

Bagi tahun 2016, adalah diharapkan perolehan untuk ATM dan PDRM sekurangnya dapat menampung tempo operasi dan kekuatan kerjasama pasukan terus dipertingkat pada setiap masa dan ketika. Kesiapsiagaan pasukan keselamatan membolehkan rakyat tidur lena dan selamat setiap masa. Terima kasih atas pengorbanan kalian.  

Rabu, 27 Ogos 2014

TLDM, adakah mampu tangani ancaman masa hadapan?

Jika dilihat kepada senario semasa negara, cabaran bermula tahun 2013 dengan peristiwa Lahad Datu, dan MH370 pada 2014 memperlihatkan keterlibatan TLDM secara intensif. Armada TLDM dengan kemampuan yang amat terhad, masih mampu laksanakan tanggungjawab mereka sebaik mungkin. Bahkan, operasi Teluk Aden yang diluar kemampuan aset flotila dalam menyokong operasi jarak jauh dapat direalisasikan juga.

Melihat kepada skop tanggungjawab yang bertambah, aset-aset sedia ada yang telah usang, amat perlu diganti pada kadar segera. Amat kritikal Kementerian Pertahanan meneliti dan bermusabah diri, adakah TLDM ada kemampuan dalam tangani pelbagai cabaran yang semakin kompleks dan mencabar?

China, dalam masa yang sama, juga dalam usaha memperluaskan pengaruh kuasa maritim dan tidak segan silu untuk merayau sehingga jauh ke dalam perairan negara. Jiran serantau juga aktif membangunkan keupayaan maritim mereka kepada satu tahap dapat menjurangkan keupayaan TLDM untuk `show of power' dengan lebih efektif.

Tidak dinafikan, dua buah kapal selam Kelas Tunku Abdul Rahman, merupakan satu pemukul strategik flotila yang telah lama diidamkan berbandingTUDM sendiri yang masih bermimpi dengan sistem AEW&C. Bagaimanapun, dengan dua unit sahaja, elemen cegah rintang ini amatlah rapuh. Mana-mana musuh amat mengetahui bahawa meneutralkan sebuah Kelas TAR, akan mengurangkan kekuatan strategik TLDM sehingga 50%.

Aset terkini TLDM buat masa ini adalah enam buah PV, Kelas Kedah (1 x 76mm, 2 x MSI 30mm, 1 x heli). Kelas Laksamana juga bakal dilucut peranan ofensif dan akan hanya menjadi kelas peronda sahaja aka gunboat seperti Kelas Kedah. Manakala, skuadron Bot Serang Laju atau FAC/M juga semakin nazak. Buat masa ini, TLDM cuma mengharapkan Skd 22 (Kelas Kasturi) dan Skd 23 (Kelas Lekiu)  yang mana, hanya 3 buah kapal sahaja yang aktif, ini memandangkan KD Lekir sedang menjalani SLEP bagi memastikan kapal ini boleh beroperasi sehingga 2030. KD Kasturi telah pun beroperasi semula selepas menjalani program SLEP yang menelan belanja sehingga RM703.8 juta.

Malaysia adalah negara maritim, maka, pertahanan hadapan adalah TLDM, itu satu fakta yang cukup jelas buat semua. Pada tahun ini, Kerajaan bersetuju mengikat kontrak untuk membeli 6 buah SGPV-LCS. Akronim ini amat mengelirukan, persoalan dalam melihat TLDM fokus kepada pertahanan pesisiran pantai semata-mata sedangkan pola cabaran amat jelas menunjukkan Malaysia harus ke tahap operasi laut dalam. Markas armada perlu buka mata, TLDM bukan di era 70-an, tetapi di era di mana peranan yang dimainkan adalah jauh lebih besar dan bukan sebagai pasukan sokongan kepada ATM lagi.

Pada realitinya, TLDM tidak pernah memiliki kapal-kapal yang boleh dikategorikan sebagai full frigate. Kelas Lekiu, aset pemukul TLDM adalah seberat 2,000 tan sahaja, manakala kelas FREMM, frigate terkini buatan Eropah adalah seberat 6,000 tan!!. Kelas Kasturi juga hanya sekitar 1500 tan. SGPV-LCS dijangka bakal cecah 3,000 tan, bergantung kepada sistem yang bakal digunakan. Jangka hayat kapal yang bersaiz kecil sebegini, lebih kurang 20 tahun, Malaysia yang sememangnya negara kecil berpendapatan kecil juga, akan menggunakan Kelas Kasturi sehingga 2030, bermakna sehingga 46 tahun!!!

Antara keperluan mendesak TLDM ialah :-

  1. Menggantikan Skuadron 1 (FAC/M) x 6 buah FAC/M
  2. Menggantikan Skuadron 6 (FAC/G) x 8 buah FAC/G
  3. 2 x kapal MPCSS/Logistic/Landing Ship
  4. Menggantikan Skuadron 13 PC Sandakan x 2 buah PC
  5. 1 Skuadron x 6 buah medium size ASW heli
  6. 1 Skuadrom x 6 buah MPA dengan keupayaan ASW/ASuW
  7. Menggantikan Skd 24 Korvette x 4 buah Kelas Laksamana `togel'
Projek  kapal latihan Gagah Samudera dan Teguh Samudera sedang terganggu akibat masalah kewangan?? Jadi diharapkan dalam tahun 2016, isu ini dapat diselesaikan dan TLDM dapat mengoperasikan kapal ini dengan dwi fungsi, latihan dan rondaan.

Jika projek SGPV-LCS akan bermula 2018, jumlah kesemua akan diterima pada 2025? Pelan pembangunan TLDM perlu dilaksanakan dengan sasaran yang jelas dan realistik.

TLDM perlu kaji sama ada masih memerlukan skuadron FAC/M? atau kapal fungsi pelbagai seperti LCS yang lebih optimum dalam melaksanakan tugasan masa aman seperti rondaan, kawalan lanun, peperangan asimiteri dan sebagainya.

TLDM mengoperasikan 16 buah aset FAC/M dan G serta PC. Jika TLDM melaksanakan program gantian. perlu memperlihatkan versi LCS TLDM dilengkapi sistem ECM/modul SAR/Anti lanun/pemintasan. Ini termasuk sistem UAV VTOL dan RHIB bot laju sebagai bot pemintas. Kemampuan di laut sehingga 14 hari. Sistem senjata, meriam RWS 30mm, sistem CAMM SAM dan 4 x SSM. Jika TLDM boleh dapatkan peruntukan untuk 10 atau 12 buah sudah cukup optimum.

TLDM juga perlukan 6 buah helikopter ASW dan paling kurang 4 buah MPA. Selain, 2 buah MPCSS atau LHD atau versi yang lebih ekonomi kepada TLDM. Manakala Skd PV ke 17 diberikan SLEP dengan 1 x CAMM SAM dan 4xSSM.

Bermakna, dalam tahun 2025, TLDM akan miliki 6 x SGPV LCS, 6 x Strike PV, 10 x  FAC/M/PC, 2 x MPCSS, 6 x ASW Heli dan 4 buah MPA. Masa yang sama membesarakan 16 buah FAC/M/G/PV dan 4 buah Laksamana. Ini bermakna TLDM bersarakan 20 buah aset mereka, digantikan dengan 12 buah aset baru sahaja. Tetapi kuasa tembak daripada 24 x  MM38/40 digantikan dengan 64 x MM40 Block III atau NSM.


Mustahil? Ini adalah sesuatu yang boleh dicapai TLDM, anggaran kos mungkin sehingga RM10 bilion, berbanding sistem AV-8 TD pada kos RM8 bilion, ini bukan satu tahap yang amat tinggi. Persaraan 20 x aset lama juga menjimatkan kos selenggara kapal-kapal tersebut. Jika Kerajaan peruntukan tiap tahun bajet pembangunan kepada TLDM untuk bina kekuatan armada, RM1 billion setahun, maka tidak mustahil ini dapat direalisasikan.