Rabu, 18 April 2012

R-77 dan DSA 2012

Misteri R-77 TUDM akhirnya terungkai di DSA 2012

Tiada sebarang kejutan utama, sekadar beberapa kontrak untuk keperluan semasa ATM. Kebanyakan kontrak lebih kepada keperluan TD di mana pelbagai jenis amunisi dibeli daripada beberapa syarikat tempatan dan paling menarik perhatian pembelian 35 peluru berpandu RVV-AE atau R-77, peluru berpandu udara ke udara jarak sederhana (MRAAM). Tidak pasti versi sebenar yang dibeli, tetapi jarak efektif peluru berpandu ini adalah sekitar 40km sehingga 50km (ada versi yang mampu sehingga 160km).

Bagaimanapun, selaras dengan falsafah `Seciput daripada Kuala Lumpur', satu-satunya konsep pembelian yang paling konsisten di Malaysia, jumlah 35 buah MRAM dengan kos RM106.4 juta adalah satu pembelian tambahan, ini kerana kontrak pembelian Su-30MKM, telah pun disatukan dengan pakej persenjataan, cuma jumlah sebenar sistem persenjataan SU-30MKM, tidak dapat dipastikan. Adakah ini pembelian pertama TUDM untuk R-77? Pastinya sesuatu yang agak ironi bahawa selama ini Malaysia telah berjaya mengelirukan semua negara serantau bahawa TUDM telah lama memiliki R-77.

RVV-AE/R-77 - foto ehsan Wikipedia




Video CGI aksi penembakan R-77-ehsan Youtube

Cuma, tidak dapat dibayangkan bahawa, jika Skuadron SU-30MKM ingin beraksi, hanya satu penerbangan kombat sahaja perlu dilaksanakan dan TUDM tiada lagi stok MRAAM untuk dibawa.

Ringkasan berkaitan aset-aset bakal dimiliki ATM

AV-8

Memang menarik model yang dipaparkan. Agak berbeza daripada platform asal PARS dan dikhabarkan Deftech telah membeli IP dan bermakna bebas untuk membuat sebarang konfigurasi  yang disesuaikan dengan keperluan ATM/TD. Cuma sedikit hairan dengan kepelbagaian versi pembawa anggota, terdapat sekurangnya empat versi iaitu :-

1) Meriam 25mm Bushmaster
2) Meriam 30mm LWT 30
3) Meriam 30mm dengan ATGM
4) Sistem RWS dengan mesingan.

Mungkin ada faktor tersendiri, tetapi dengan menggunakan satu versi seperti meriam 30mm LWT 30 dan dipadankan dengan MGKA atau ATGW, kiranya mampu menangani sebarang ancaman sama ada musuh infantri, armor ringan dan sebagainya.


SGPV

DSA 2012 juga memperlihatkan konsep model SGPV daripada BNS, cuma belum ada keputusan muktamad berkaitan kuasa tembakan platform ini. Paling diberi fokus sama ada gandingan Mica VL dan Exocet MM40 Block III atau ESSM dan NSM akan dipilih. Ini kemungkinan akan ambil masa atau pilihan telah pun dibuat. Bagaimanapun, antara dua pilihan ini, pemilihan Exocet MM40 Block III akan memudahkan urusan logistik TLDM. Selain Exocet, TLDM masih lagi mengoperasikan Teseo Otomat, sistem legasi daripada kelas Laksamana. Jika penyelarasan sistem peluru berpandu dilakukan, maka TLDM hanya perlu mengoperasikan kelas Exocet sahaja, termasuk versi pelancaran udara AM-39 dan pelancaran kapal selam, SM-39.


Astross II

Tiada rejimen ketiga sebagaimana yang digembar-gemburkan. Kena tunggu DSA 2014 pula, mungkin kali ini TD bakal memiliki 1 rejimen SPH sama ada K-9 atau Archer. Bagi saya, 12 buah Archer SPH adalah satu kombinasi kuasa tembakan yang cukup ampuh.

STRIDE

Stride kali ini memaparkan `digital camo' TD. Sesuatu yang bukan lagi asing buat kita semua. Manakala, paling menarik. adalah pembangunan mortar 120mm. Sesuatu yang tidak dimiliki oleh TD dan mungkin satu opsyen menarik untuk menggantikan meriam 105mm yang telah usang dimamah usia.


Lain-lain

Antara ilmu yang diperolehi, semua syarikat pengeluar senjata secara keseluruhan dalam membuat jualan adalah berdasarkan konsep `customised service'. Kos bukan sesuatu yang boleh dibuat perbandingan, khususnya pembelian sistem aset utama. Jadi, kita tidak perlu membodohkan diri untuk buat perbandingan kenapa harga A murah daripada harga B, tanpa memahami kos dan faedah yang bakal diperolehi serta kesan jangka panjang dan paling utama perkhidmatan sokongan yang diberikan. Ini semua memerlukan kajian dan perancangan yang cukup teliti dan sekadar membaca beberapa blog, majalah pertahanan  atau jurnal tidak akan mampu membantu kita memahami keperluan sebenar anggota tentera. Paling utama, adalah menukar mentaliti bahawa tiada jalan mudah untuk kejayaan. Kerajaan perlu lebih serius dan mengenalpasti mana-mana syarikat yang lebih 10 tahun beroperasi dan menunjukkan komitmen dan jati diri dalam industri pertahanan dan mereka patut diberi keutamaan. Jika ini dapat dilaksanakan, maka setiap projek dilaksanakan akan ada kesinambungan dan relevan dengan keperluan dan kelengkapan semasa. Jangan dijadikan industri ini sebagai `once in a life time moment', ini adalah tunjang kemandirian keselamatan dan kedaulatan negara, jika ada yang cuba ambil kesempatan, maka dia adalah petualang negara!.

Isnin, 16 April 2012

DSA 2012



Pejam celik, pejam celik, DSA 2012 kembali menjelma. Masih ingat kejutan DSA 2010 apabila pengumuman Kerajaan berkaitan perolehan AV-8. Kali ini, kita bakal menyaksikan beberapa versi yang katanya telah dikenal pasti untuk dibangunkan buat TD.


Menariknya, DSA 2012 kali ini bakal menyajikan beberapa program istimewa termasuk demonstrasi pasukan khusus daripada Gerak Khas dan beberapa program menarik untuk tontonan tetamu kehormat dan rakan dagang. Cuma penulis bertanya, syarikat mana membina laman web DSA 2012? Sekali pandang macam laman web sekolah menengah pula. Maaf, jika ada terasa, tetapi sebagai program yang berprestij dan urusniaga sehingga ribuan juta, sebaiknya gunakan platform tersebut untuk membuat kita semua rasa bangga.


Hari ini, adalah hari pembukaan DSA 2012 yang akan berakhir pada 19 April 2012. Penulis belum ada baca sebarang berita terkini berkaitan DSA, mungkin tiada `big ticket item' sebab menjelang PRU 13.


Adalah diharapkan, pasti ada beberapa LOI dan LOA bakal dimeterai melibatkan sub-sistem dan sebagainya untuk TD. Jika ada kontrak perolehan sistem optik dan aksesori M-4 pun dikira satu bonus, manakala perolehan untuk GAPU, Rejimen Artileri DiRaja dan sebagainya pasti bakal buka mata, tetapi kemungkinannya adalah mustahil sama sekali.


Ini jangkaan penulis beberapa peralatan atau sistem yang bakal dimeterai pada DSA 2012.


AV-8


Pengesahan versi AV-8, termasuk sistem turet dan sebagainya. Pasti ada `mock-up; walaupun kurang pasti jika Deftech bakal bawa `live size' FNSS PARS untuk dilihat bersama pengunjung. Boleh disaksikan sama ada kali ini AV-8 lebih menyediakan ruang lebih selesa  dan selamat berbanding Condor atau Sibmas.


SGPV


BNS telah menyatakan LOA untuk sistem kawalan kombat dan maklumat serta kawalan tembakan untuk SGPV. Berita ini ada dilaporkan di akhbar dan blog-blog pertahanan tempatan. Mungkin DSA 2012 dapat mempamerkan sistem SETIS dan sistem Rheinmental FCS. 


Astross II

Ada dilaporkan pembahanan 1 rejimen roket untuk TD. Cuma lebih menarik jika diumumkan perolehan jenis roket, selain roket standard seperti SS-30 dan SS-80, adakah sistem ini sedia digunakan untuk AV-300MT. Pasti gawat rantau Asia Tenggara.

A 400M

Pameran statik di Subang Airport, pesawat A-400M Grizzly 4 sempena DSA 2012. Tidak pasti jika ada cadangan demonstrasi penerbangan aras rendah pesawat ini sekitar PWTC. Pasti gawat!


Lain-lain

Selain itu, syarikat NGV Tech pasti akan pamerkan model kapal latihan yang mereka bakal bina untuk TLDM dan juga beberapa model bot peronda saiz kecil untuk kegunaan Maritim Malaysia. BNS juga akan pamerkan model SGPV berasaskan Gowind, sebagaimana yang dipamerkan oleh LIMA 2011.

Ada satu lagi pengumuman yang bakal mengejutkan, perolehan AV-4 untuk kegunaan anggota pengaman kita di Lubnan. Ada kemungkinan? Sebab TD masih lagi belum umumkan kenderaan yang bakal ganti Condor di Lubnan. Pernah ada ura-ura ingin membeli Anoa buatan Indonesia tetapi rupanya sekadar ura-ura. Ini mungkin satu kemungkinan.

Ini semua sekadar pemerhatian penulis, tiada siapa yang beritahu dan penulis bukanlah seorang wartawan, pemain industri atau pegawai kerajaan. Sekadar pembayara cukai yang prihatin dan yang mahukan hanya yang terbaik buat ATM.