Isnin, 18 Januari 2016

Sistem pertahanan aktif kereta kebal (APS)

Foto kereta kebal Leopard dengan sistem pertahanan aktif. Foto sumber internet (Infohow.org)

Ancaman kepada kereta kebal di masa kini adalah terlalu luas. Selain peluru meriam kinetik anti kereta kebal yang boleh ditembak kereta kebal musuh, kereta kebal juga perlu mampu bertahan dengan serangan sistem senjata anti kereta kebal yang digunakan di pelbagai platform. Sama ada dilancarkan oleh infantri, kenderaan armor atau kenderaan peninjau. 

Selain itu, selain ancaman di bawah seperti periuk api, terdapat juga sistem artileri jarak jauh dengan sistem panduan GPS dan radar yang boleh mencari dan memusnahkan kereta kebal dari atas.Bagi mengatasi segala ancaman sedia ada, teknologi pertahanan aktif merupakan satu teknologi baru yang dianggap boleh melindungi kereta kebal dari serangan segenap penjuru. Sistem yang dikenali dengan akronim APS yang bermaksud `Active Protection System' atau Sistem Perlindungan Aktif adalah teknologi terkini yang membolehkan kereta kebal dilindungi daripada segala bentuk ancaman.

Russia antara pelopor awal sistem sebegini selain Israel. Antara nama-nama sistem yang terkenal seperti Arena dan Trophy. Sistem ini menggunakan pelbagai deria untuk mengesan projektil atau peluru berpandu anti kereta kebal dan memintasnya dengan menggunakan projektik khas yang ditembak dari kereta kebal sendiri. Sistem ini adalah automatik sepenuhnya.

Bagaimana sistem Arena berfungsi. Sumber foto Internet (Wikipedia)

Penambahan sistem pertahanan APS ini digandingkan dengan sistem pertahanan armor reaktif, armor komposit, sistem penyerakan elektronik, sistem pertahanan pasif seperti serakan asap dan kilauan laser (untuk membutakan mata jurupandu peluru berpandu musuh) akan meningkatkan daya survival kereta kebal dalam pertempuran.

Bagaimanapun, keberkesanan sistem ini hanya sebahagian daripada kemampuan pasukan armor dalam melaksanakan gerakan serangan. Kemampuan kru kereta kebal dan kebijaksanaan ketua platun/kompeni kereta kebal juga kritikal dalam melaksanakan gerakan serangan.

Kereta kebal juga perlu sentiasa disokong oleh unit-unit infantri mekanis (lazimnya) yang akan menaiki kenderaan tempur sebelum mereka keluar dan melaksanakan gerakan pengepungan sasaran dibantu kuasa tembak armor.

Ruang udara juga mesti bebas dari ancaman pesawat musuh bagi memastikan tempo operasi tidak terganggu oleh serangan udara.








Kapal Korvet Halimunan ASW Kamorta - INS Kadmatt beroperasi

Tentera laut India secara rasmi telah menerima kapal korvet halimunan peperangan anti kapal selam (ASW) Kelas Kamorta iaitu INS Kadmatt baru-baru ini. Ini adalah kapal projek 28 (P28) kedua yang berjaya dibangunkan oleh India sendiri.

Kapal seberat 3500 tan dan sepanjang 110 meter ini memiliki pelbagai peralatan dan sistem yang sesuai untuk memburu kapal selam, antaranya :


  1. Sonar Hadapan Kapal Terkini
  2. Radar Pengesanan Udara Revathi dengan jarak jangkauan sehingga 200 km.
  3. Tatasusunan Sonar Aktif Ditunda (Active Towed Array Sonar)
  4. Kelajuan sehingga 25 knot
  5. Julat operasi sehingga 3500 batu nautika
  6. Hangar helikopter ASW
Kapal yang ditakrifkan sebagai korvet ini memiliki kuasa tembakan seperti berikut :


  1. Selaras meriam utama Oto Melara 76mm 
  2. Dua meriam sistem senjata jarak dekat AK-630M CIWS
  3. Dua pelancar roket ASW RBU-6000
  4. Dua pelancar kembar tiga torpedo
  5. 16 pelancar menegak Barak untuk anti pesawat
  6. 8 pelancar 3M54 Klub peluru berpandu anti kapal
Adalah satu perkembangan menarik, kapal yang dikelaskan korvet ASW memiliki keupayaan peperangan anti pesawat dan permukaan juga. TLDM perlu melihat keperluan meningkat upaya 6 buah PV Kelas Kedah yang buat masa ini hanya ada satu meriam utama dan dua meriam sekunder. Program tingkat upaya ini jika dilaksanakan untuk keenam-enam PV Kelas Kedah ini akan melonjak kuasa tempur TLDM pada satu tahap yang lebih mantap.

INS Kadmatt - Sumber foto Internet (Indian Navy/NavyRecognition)

Kelas Kedah PV - Sumber foto Internet (Jejaktapak)

Tahun 2016, ancaman keselamatan dan ekonomi buat Malaysia

Tidak dapat dinafikan, permulaan tahun 2016 bukanlah permulaan yang baik. Kesan ekonomi dengan kejatuhan harga minyak sehingga bawah USD30 setong telah menyebabkan negara kehilangan sumber pendapatan utama dari segi eksport minyak. Menambah luka pula, komoditi seperti  minyak sawit dan getah juga mengalami penurunan dan ini menyebabkan kerajaan terpaksa membuat kajian semula bajet akibat penguncupan pendapatan ini.

Ancaman pengganas juga semakin meningkat sejak akhir ini, terutama penglibatan Daesh atau dikenali juga dengan IS. Blog ini akan menggunakan Daesh kerana penggunaan IS adalah mencemar nama Islam sendiri. Aktiviti keganasan global dengan serangan di Paris, Istanbul dan terkini Jakarta menunjukkan gerakan ini semakin ke hadapan.

Berbeza dengan Al-Qaeda, sel Daesh lebih kompleks dan kemajuan komunikasi dengan medium sosial seperti Facebook, Tweeter dan lain-lain membolehkan arahan dan komunikasi antara pihak pengganas dapat dilaksanakan secara efektif dan sukar dihidu pihak berkuasa.

Malaysia sendiri tidak terkecuali, ancaman keganasan oleh Sulu masih lagi belum dapat dibendung dan akibat daripada entiti ini berlindung di negara jiran, sebarang usaha untuk memusnahkan mereka pasti memerlukan kerjasama rapat antara kedua pihak dan ini bukan sesuatu yang mudah.

 
Kekangan kewangan juga menyebabkan peruntukan keselamatan perlu diuruskan dengan lebih baik. Ini adalah kritikal kerana setiap perbelanjaan perlu beri kesan impak maksima kepada keberkesanan pasukan keselamatan.
 

PDRM dengan Cawangan Khas selaku mata telinga dalam menghidu sebarang ancaman dalam perlu dilengkapi dengan keupayaan menganalisa sebarang ancaman berdasarkan data sumber perisikan yang terkumpul sekian lama. Ini membolehkan mereka mengenal pasti pola ancaman dan memastikan sebarang usaha menggugat keamanan  dapat disekat sebelum mendatangkan padah.

Kereta peronda PDRM dengan corak terkini. Sumber foto Internet (Sembang-Auto)

Kenderaan armor Streit MRAP Typhoon PDRM, digunakan oleh Unit Tindakan Khas Sumber foto Internet (syarkghost.blogspot.my)
Aset-aset baru ini yang diterima PDRM ini membuktikan Kerajaan masih mampu memperuntukan bajet untuk menjamin keselamatan negara tidak dikompromi. Bagi penulis, selain aset-aset seperti kenderaan, anggota PDRM juga harus bijak terutama dalam menggunakan teknologi serta memiliki kemahiran dan sentiasa diasah kemahiran dalam pelbagai bidang seperti IT, komunikasi dan ini harus dipupuk oleh setiap peringkat balai dan IPD serta IPK. Mungkin perlu juga pembangunan modal insan ini dapat diadakan pelbagai inisiatif agar anggota sentiasa segar dan waspada pada persekitaran khususnya dalam kenalpasti bentuk ancaman sama ada jenayah ataupun keganasan.

Manakala, ATM juga turut menerima beberapa aset untuk melaksanakan tugasan mereka, antara yang perlu diberi perhatian ialah aset-aset untuk ESSCOM. Dua buah platform terapung iaitu Tun Sharifah Rodziah dan Tun Azizan telah beroperasi di Sabah bagi memastikan kemampuan tindak balas pasukan keselamatan lebih tinggi dengan kewujudan platform sebegini.

Pengkalan laut Tun Sharifah Rodziah. Sumber foto Internet (Joint Force/malaysiandefence.com)
 Selain itu, dilaporkan ada pembelian radar dan helikopter bagi menampung keperluan operasi semasa di sana. Antara yang agak menarik adalah kelengkapan sistem persenjatan infantri pasukan khas negara yang telah dinaik taraf agar mampu memiliki keupayaan menentang pengganas dari jarak jauh serta kuasa tembak yang tinggi. Perolehan raifal tempur 7.62mm mula memenuhi inventori pasukan keselamatan dan ini satu perkembangan yang cukup baik.

Bagi tahun 2016, adalah diharapkan perolehan untuk ATM dan PDRM sekurangnya dapat menampung tempo operasi dan kekuatan kerjasama pasukan terus dipertingkat pada setiap masa dan ketika. Kesiapsiagaan pasukan keselamatan membolehkan rakyat tidur lena dan selamat setiap masa. Terima kasih atas pengorbanan kalian.