Diam-diam berisi
Ukraine dan Malaysia perkukuh kerjasama pertahanan
Melihat kepada aktiviti perolehan aset pertahanan di rantau ini, dilihat Malaysia kurang aktif berbanding jiran-jiran serantau seperti Indonesia, Thailand, Singapura hatta Filipina. Banyak pengumuman dibuat dari aspek perolehan dan ini sekaligus menyebabkan banyak syarikat pertahanan memfokuskan pemasaran mereka di rantau ini bagi meyakinkan bakal pembeli berkaitan produk keluaran mereka.
Malaysia, selepas pengumuman perolehan sistem AV-8 dan SGPV, belum menyasarkan sebarang perolehan baru memandangkan barisan pimpinan kini sedang fokus untuk menghadapi pilihanraya yang bakal menjelang. Tetapi ini tidak bermakna Kementerian Pertahanan berpeluk tubuh dan hanya melaksanakan keperluan operasi tanpa perancangan jangka panjang.
Pada 31 Oktober 2012, satu mesyuarat peringkat tertinggi wakil pertahanan daripada Ukraine bersama Malaysia telah diadakan. Ini satu perkembangan yang menarik perhatian kerana Ukraine bukan pembekal tradisional pertahanan negara.
Mesyuarat yang diketuai oleh Andriy Kluyev, Setiausaha Majlis Pertahanan dan Keselamatan Ukraine dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato' Sri Dr. Haji Ismail Ahmad memfokuskan kepada peningkatan kerjasama pertahanan kedua negara. Antara bidang yang ditawarkan Ukraine bagi tujuan kerjasama seperti industri pembinaan kapal, sistem persenjataan berteknologi tinggi dan sistem radar berteknologi tinggi.
Berita ini tidak dilaporkan di mana-mana media perdana mungkin memandangkan mesyuarat ini tidak melibatkan pimpinan tinggi negara. Tetapi kesannya adalah amat signifikan kerana ATM memang memiliki sistem VERA-E yang dibangunkan oleh Republik Czech. Manakala Ukraine juga ada membangunkan sistem radar pasif yang sama dikenali dengan nama Kolchuga.
Sistem Radar Pasif Kolchuga-sumber foto Wikipedia |
Selain itu, Ukraine juga negara pengeluar Kereta Kebal Utama (KKU) seperti Oplot dan Yatagan, manakala sistem anti armor seperti SkiF dan sebagainya antara senjata yang digeruni atas kemampuannya yang tinggi dalam merobek armor musuh. Ada kemungkinan kerjasama ini membolehkan Ukraine bekalkan amunisi kepada PT-91M? Memandangkan pelbagai jenis amunisi dalam kaliber 125mm dikeluarkan oleh Ukraine, maka tidak mustahil kerjasama membolehkan PT-91M menggunakan sistem amunisi yang sama.
KKU Yatagan, versi tingkat upaya daripada Oplot-sumber foto Morozov.com |
Produk Ukraine yang paling menarik adalah sistem anti armor. Malaysia harus fokus dalam pembangunan teknologi ini. Stride ada membangunkan sistem peluru amunisi pintar 155mm Taming Sari dan mortar 120mm, tetapi dengan perluasan inventori kereta kebal di rantau ini, TD harus memiliki keupayaan tinggi menangkis serangan armor dengan berkesan. Ukraine membangunkan dua sistem anti armor dikenali dengan nama Skif dan Corsar. Skif untuk kategori jarak sehingga 5km, manakala Corsar untuk sistem jarak sehingga 2km.
Sistem anti armor Skif-sumber foto APA |
Perluasan penggunaan KKU di rantau ini memperlihatkan keperluan TD untuk membangunkan doktrin anti armor yang berkesan. Jika Malaysia memiliki kepakaran membangunkan sistem anti armor sendiri, maka TD mampu mewujudkan platun anti armor dalam setiap kompeni infantri mereka. Bentuk geografi Malaysia yang mana tidak banyak kawasan luas yang membolehkan pasukan armor bergerak bebas, bagaimanapun, dengan perlindungan dan kuasa tembak sedia ada, KKU amat merbahaya kepada mana-mana pasukan infantri. Memiliki sistem anti armor yang efektif, sekurangnya memberikan keupayaan kepada unit infantri untuk mengekang kemaraan armor musuh ke objektif pada masa yang ditetapkan. Harapan agar kerjasama ini bakal merealisasikan satu perkara yang konkrit di masa hadapan.