Khamis, 8 November 2012

Diam-diam berisi
Ukraine dan Malaysia perkukuh kerjasama pertahanan


Melihat kepada aktiviti perolehan aset pertahanan di rantau ini, dilihat Malaysia kurang aktif berbanding jiran-jiran serantau seperti Indonesia, Thailand, Singapura hatta Filipina. Banyak pengumuman dibuat dari aspek perolehan dan ini sekaligus menyebabkan banyak syarikat pertahanan memfokuskan pemasaran mereka di rantau ini bagi meyakinkan bakal pembeli berkaitan produk keluaran mereka.

Malaysia, selepas pengumuman perolehan sistem AV-8 dan SGPV, belum menyasarkan sebarang perolehan baru memandangkan barisan pimpinan kini sedang fokus untuk menghadapi pilihanraya yang bakal menjelang. Tetapi ini tidak bermakna Kementerian Pertahanan berpeluk tubuh dan hanya melaksanakan keperluan operasi tanpa perancangan jangka panjang.

Pada 31 Oktober 2012, satu mesyuarat peringkat tertinggi wakil pertahanan daripada Ukraine bersama Malaysia telah diadakan. Ini satu perkembangan yang menarik perhatian kerana Ukraine bukan pembekal tradisional pertahanan negara. 

Mesyuarat yang diketuai oleh Andriy Kluyev, Setiausaha Majlis Pertahanan dan Keselamatan Ukraine dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato' Sri Dr. Haji Ismail Ahmad memfokuskan kepada peningkatan kerjasama pertahanan kedua negara. Antara bidang yang ditawarkan Ukraine bagi tujuan kerjasama seperti industri pembinaan kapal, sistem persenjataan berteknologi tinggi dan sistem radar berteknologi tinggi. 

Berita ini tidak dilaporkan di mana-mana media perdana mungkin memandangkan mesyuarat ini tidak melibatkan pimpinan tinggi negara. Tetapi kesannya adalah amat signifikan kerana ATM memang memiliki sistem VERA-E yang dibangunkan oleh Republik Czech. Manakala Ukraine juga ada membangunkan sistem radar pasif yang sama dikenali dengan nama Kolchuga. 

Sistem Radar Pasif Kolchuga-sumber foto Wikipedia


Selain itu, Ukraine juga negara pengeluar Kereta Kebal Utama (KKU) seperti Oplot dan Yatagan, manakala sistem anti armor seperti SkiF dan sebagainya antara senjata yang digeruni atas kemampuannya yang tinggi dalam merobek armor musuh. Ada kemungkinan kerjasama ini membolehkan Ukraine bekalkan amunisi kepada PT-91M? Memandangkan pelbagai jenis amunisi dalam kaliber 125mm dikeluarkan oleh Ukraine, maka tidak mustahil kerjasama membolehkan PT-91M menggunakan sistem amunisi yang sama.

KKU Yatagan, versi tingkat upaya daripada Oplot-sumber foto Morozov.com


Produk Ukraine yang paling menarik adalah sistem anti armor. Malaysia harus fokus dalam pembangunan teknologi ini. Stride ada membangunkan sistem peluru amunisi pintar 155mm Taming Sari dan mortar 120mm, tetapi dengan perluasan inventori kereta kebal di rantau ini, TD harus memiliki keupayaan tinggi menangkis serangan armor dengan berkesan. Ukraine membangunkan dua sistem anti armor dikenali dengan nama Skif dan Corsar. Skif untuk kategori jarak sehingga 5km, manakala Corsar untuk sistem jarak sehingga 2km.

Sistem anti armor Skif-sumber foto APA

Perluasan penggunaan KKU di rantau ini memperlihatkan keperluan TD untuk membangunkan doktrin anti armor yang berkesan. Jika Malaysia memiliki kepakaran membangunkan sistem anti armor sendiri, maka TD mampu mewujudkan platun anti armor dalam setiap kompeni infantri mereka. Bentuk geografi Malaysia yang mana tidak banyak kawasan luas yang membolehkan pasukan armor bergerak bebas, bagaimanapun, dengan perlindungan dan kuasa tembak sedia ada, KKU amat merbahaya kepada mana-mana pasukan infantri. Memiliki sistem anti armor yang efektif, sekurangnya memberikan keupayaan kepada unit infantri untuk mengekang kemaraan armor musuh ke objektif pada masa yang ditetapkan. Harapan agar kerjasama ini bakal merealisasikan satu perkara yang konkrit di masa hadapan.

Jumaat, 2 November 2012


Maghribi perkukuh kuasa maritim dengan pemilikan Sigma dan FREMM.



Kapal Korvet Sigma, Tentera Laut DiRaja Maghribi



Peralatan Thales di atas kapal Allal Ben Abdallah termasuk Sistem Pengurusan Pertempuran Tacticos, radar pengawasan SMART-S MK2, sistem radar kawalan tembakan LIROD MK2, Penderia Penjejak Sasaran, Sistem sonar pada platform UMS 4132 KINGKLIP , Sistem Telefon Bawah Air TUUM-4  , Sut Peperangan Elektronik (disepadu dengan ESM Vigile 100 S &  ECM Scorpion 2L), sistem panduan navigasi bersepadu (INS), Bathythermograph Mk21 dan sistem komunikasi bersepadu.

Kapal Frigat FREMM

Pada pertengahan 2011 dan akhir tahun lepas, dua lagi kapal kelas ini, Tarik Ben Ziyad dan Sultan Moulay Ismail, telah ditauliahkan dan dengan kemampuan baru ini Tentera Laut DiRaja Maghribi (TLDMagh) memiliki kemampuan pertempuran permukaan yang cukup ampuh. TLDMagh juga bakal menerima sebuah kapal frigat FREMM sekitar 2012 atau awal 2013. 

Sumber berita : Navy Recogntion.com





Selasa, 29 Mei 2012

Aset Pertahanan Pantai, boleh dijadikan strategi penafian akses ATM?

Malaysia merupakan sebuah negara yang cukup strategik. Ini disebabkan kepentingan Selat Melaka dan Laut China Selatan yang merupakan laluan utama perdagangan dunia. Melihat kepada kepentingan ini, natijahnya, pertahanan jalinan komunikasi laut ini amat kritikal dalam perancangan pertahanan negara. Jika melihat kepada perkembangan masa kini, peningkatan dua kuasa utama serantau, India dan China, memperlihatkan bahawa mereka juga mengintai dan memerhati sama  ada kekuatan militer mereka mampu menguasai jalan perdagangan ini jika perlu.

Maka, peranan TLDM dan TUDM sebagai pertahanan hadapan negara dalam menangani sebarang ancaman luaran yang mampu mencerobohi negara jika Selat Melaka ini mampu mereka kuasai. Cabaran utama, aset sedia TLDM adalah amat terhad, dengan kekuatan serangan permukaan 2 buah kapal kelas frigat, Kelas Lekiu, dua buah kapal frigat ringan Kelas Lekir, 4 buah korvet Kelas Laksamana, dan  aset-aset lain, keupayaan TLDM melaksanakan stategi penafian, adalah sesuatu yang amat besar cabarannya.

TUDM, dengan pemilikan pesawat F/A 18D, memiliki keupayaan anti kapal yang agak baik dirantau ini dengan sistem Harpoon. Bagaimanapun, umum sedia maklum bahawa jumlahnya amat terhad. Ini memperlihatkan bahawa ATM harus ada satu lagi lapisan pertahanan lain yang mampu membuatkan mana-mana musuh berfikir tiga kali sebelum mendekati perairan negara.

Sistem Pertahanan Pantai - versi peluru berpandu
Pembalikan Kejuruteraan  MM38?
Terdapat beberapa sistem pertahanan pantai yang dibangunkan oleh beberapa syarikat pengeluar. Paling utama adalah sistem peluru berpandu anti kapal yang dilancarkan menggunakan trak. Sistem sebegini memang banyak di pasaran dengan menggunakan sistem peluru berpandu anti kapal barat masa kini seperti Harpoon, Exocet, RBS atau sistem peluru berpandu anti kapal buatan Russia dan China seperti Club K atau Silkworm.

Kelebihan sistem sebegini adalah berdasarkan ketepatan dan keupayaan sistem ini menjejak dan mengesan sasaran. Bagaimanapun, kos tinggi harga sebuah peluru berpandu yang boleh cecah jutaan ringgit serta sistem sokongan yang agak kompleks akan menyukarkan keputusan pembelian. Kemampuan kewangan yang terhad, akan menyebabkan sistem ini dibeli pada jumlah yang tidak beri sebarang kesan signifikan terhadap kemampuan serangan ATM.

TLDM bersama syarikat tempatan dahulunya dikatakan memiliki keupayaan menyelenggara sistem peluru berpandu Exocet MM-38 yang dipasang pada bot-bot serang laju peluru berpandu (Fast Attack Craft-Missile). Jika keupayaan teknologi peluru berpandu ini difokus dan ditingkatkan, adalah tidak mustahil TLDM mampu memiliki teknologi peluru berpandu anti kapal ini dengan kepakaran tempatan, selain mendapatkan hak perlesenan eksklusif daripada pengeluar, versi MM-38 ini akan melonjak kepakaran untuk Malaysia membina sistem panduan dan sebagainya.  Pengalaman Argentina menggunakan peluru berpandu MM-38 yang ditanggalkan daripada kapal perangnya dan dilancarkan kepada HMS Glamorgan menyebabkan kerosakan semasa perang Falkland menunjukkan kemampuan sistem ini.

Jika TLDM memiliki stok MM-38 sekitar 20-30 buah, sekurangnya dapat melengkapkan sehingga 3 bateri pelancar peluru berpandu pertahanan pantai dengan keupayaan tembakan sehingga jarak 70 km. Cukup untuk menafikan Selat Melaka daripada pergerakan kapal-kapal musuh. Ini baru permulaan, dengan pengalaman pengoperasian dan doktrin pertempuran, unit-unit boleh menggunakan sistem peluru berpandu baru versi yang lebih baik dengan sistem panduan terkini dengan jarak yang lebih jauh.

Sistem Exocet MM-38 Argentina pelancaran darat semasa konflik Falkland-ehsan Wikipedia


Sistem Pertahanan Pantai-versi roket


Rejimen Roket TD yang dilengkapi dengan sistem pelancar roket berganda atau MRL Astross II adalah satu sistem yang cukup digeruni malah dianggap strategik dalam konteks tertentu. Menggunakan roket  SS-80, Rejimen Roket TD mampu menembak sehingga jarak 90km, satu jarak yang cukup untuk menutup laluan Selat Melaka. Bagaimanapun, serangan roket tidak setepat serangan peluru berpandu, walaupun jumlah roket lebih tinggi dan  menggunakan sistem penyerak alat letup atau sub-munition, membolehkan jarak tembakan lebih luas, tetapi kesan kerosakan kepada kapal perang musuh mungkin membolehkan kapal-kapal ini masih beroperasi. Buat masa ini, Malaysia masih mengimport peluru roket daripada Brazil, tidak kelihatan sebarang perancangan untuk Malaysia membuat sendiri peluru roket buat masa ini. Komposisi satu bateri pelancar Astross II adalah seperti berikut :-

6 x unit AV-LMU  (pelancar roket)
6 x AV-RMD (kenderaan pengisian semula roket)
1 x AV-UCF (kenderaan unit kawalan tembakan)
1 x AV-VCC (kenderaan pemerintah dan kawalan tembakan bersama dua `mobile workshop' biasanya diletak di ibu pejabat battalion.

Persiapan untuk tembakan, bermula dengan berhenti dan arahan tembakan dijangka sekitar 10 sehingga 15 minit (ini hanya anggaran semata-mata, tiada rujukan khusus berkaitan masa yang diambil untuk persediaan tembakan). Masa kini, dengan sistem pemintasan artileri yang cukup canggih, mana-mana sistem yang terdedah lebih daripada 10-15 minit boleh dipintas dan dimusnahkan oleh musuh yang memiliki keupayaan pemintasan tembakan dan sistem serangan yang canggih.

Sistem pelancar roket AV-LMU Tentera Darat  dengan pelancar 4 tiub untuk peluru roket SS-80 atau SS-60. Foto CSS2008


Sistem Pertahanan Pantai-versi artileri


Terdapat juga sistem pertahanan pantai menggunakan meriam. Semasa perang dunia kedua, sistem meriam statik ini digunakan dengan pelbagai kaliber, seperti meriam pertahanan pantai Singapura semasa perang dunia kedua dengan meriam bersaiz kaliber 381mm. Bagaimanapun, masa kini sistem pertahanan pantai dengan meriam statik tidak lagi bersesuaian dengan peperangan masa kini.

Buat masa ini, Russia ada membangunkan sistem meriam khusus untuk pertahanan pantai iaitu A-222 Bereg. Meriam 130mm ini adalah versi dipasang atas trak MAZ-543 8x8, dengan jarak tembakan sehingga 22km, sistem ini hanya digunakan di Russia. Sistem ini dikatakan mampu menyerang sasaran kapal permukaan atau bot laju dalam jangka masa 1 sehingga 2 minit. Bagaimanapun, dengan jarak 22km, ia agak terhad dan tidak memberikan kuasa tembakan pada jarak dikehendaki. Selat Melaka sendiri, sekurangnya jarak terdekat sekitar 40-45km. Manakala, dengan kaliber 130mm, sistem sebegini bukan standard yang dimiliki oleh TD.

Sistem Bereg A222 Coastal Defence Artillery - foto ehsan Military-Today.com


Rejimen Artileri Diraja (RAD) memiliki sejumlah meriam tunda 155mm iaitu G-5. Pada asasnya meriam G-5 adalah yang terbaik dalam kelasnya. Kuasa tembakan G-5 mampu cecah 40km atau sehingga 56km jika menggunakan projektil khusus. Tetapi G-5 tidak memiliki perlindungan dan mobiliti yang dikehendaki dalam memberikan tekanan kepada musuh dalam meneka lokasi dan kedudukan bateri pertahanan pantai TD.

Maka, TD mungkin perlu serius fokus kepada perolehan meriam bergerak sendiri atau SPG singkatan kepada Self Propelled Gun.  Sistem sebegini akan menyokong pelbagai peranan artileri sendiri dalam memberikan kuasa tembakan kepada Rejimen Armor dan Mekanis serta boleh digunakan secara berkesan untuk doktrin pertahanan pantai.

Antara sistem yang harus diberi perhatian adalah SPG Archer. Sistem meriam 155mm ini menggunakan platform trak Volvo sebagai kenderaan pembawa meriam dengan sistem meriam 155mm yang dilengkapi dengan sistem tembakan automatik.

Paling menarik sistem meriam ini amat jitu dari segi ketepatan tembakan dan memiliki keupayaan tembakan dikenali dengan nama MRSI, singkatan kepada Multiple Round Simultanous Impact. Keupayaan sebegini membolehkan dua buah sistem Archer, membuat 3 das tembakan tiap satu, membolehkan 6 peluru jatuh serentak atas sasaran pada masa yang sama! Selain itu, sistem ini amat pantas dalam masa 30 saat, mampu buat tembakan sehingga 3 das tembakan dalam masa 15 saat! Kemudiannya bergerak semula ke lokasi tembakan baru dalam jangka masa tidak sampai 30 saat. Isian semula peluru kurang daripada 8 minit dan boleh dilaksanakan di lokasi selamat dan terlindung. Kru meriam menembak dalam kabin armor dan tidak perlu mendedahkan diri untuk memasukkan peluru dan caj tembakan.

Setiap sistem meriam membawa 21 peluru sedia ditembak dan 20 peluru untuk isian semula. Platform Volvo berdasarkan penarik komersial articulated dengan keupayaan merentas pelbagai bentuk muka bumi, menjadikan sistem ini mudah dioperasikan di mana-mana kawasan pantai. Sistem ini boleh menembak peluru Excalibur pada jarak maksimum 60km.

Kelebihan utama sistem meriam ini, pertama, kuasa dan, kedua adalah kuantiti tembakan. Peluru meriam 155mm, lebih murah berbanding sistem peluru berpandu dan pastinya stok kuantiti peluru mencecah ratusan atau ribuan. Malaysia melalui SME Ordnance menghasilkan peluru meriam 155mm, maka tiada masalah bekalan peluru. Stride juga ada bangunkan peluru meriam berpandu Taming Sari 155mm, ini boleh digandingkan dengan sistem Archer dengan sedikit modifikasi bagi sasaran anti kapal. Jika RAD membeli sekitar 24 buah meriam ini, satu doktrin dapat dirangka untuk membolehkan hanya dua meriam sahaja diperlukan untuk mengawal titik sempit sekitar Selat Melaka. Mungkin dalam dibentuk dalam saiz Skuadron Pertahanan Pantai RAD. Empat skuadron dibentuk dengan kawasan dibahagikan di Lumut, Klang, Port Dickson dan Johor. Melalui empat skuadron PPRAD ini, 8 buah sistem Archer SPG ini diatur gerak sepanjang masa dan diberi latihan khusus dalam membolehkan unit-unit ini membuat bidikan dan tembakan yang tepat. Baki 16 meriam lagi, boleh dibahagikan sehingga 3 bateri untuk menyokong Rejimen Armor dan Mekanis dalam operasi mereka.

Dua buah sistem Archer SPG memburu musuh-foto ehsan ArmyRecognition.com





Selasa, 8 Mei 2012

TD bersama Media 2012

Pertandingan Menembak Acara Utama

6 Mei 2012, penulis menerima jemputan daripada wakil Perajurit, Saudara N.S Shah, Editor Associate Projek Khas Perajurit untuk mewakili penerbitan ini atas kapasiti penulis tamu ke program TD Bersama Media di Kem Perdana Kem Sungai Besi. Program tahunan ini adalah salah satu usaha Tentera Darat (TD) dan Kementerian Pertahanan untuk memberi pendedahan kepada media berkaitan aspek ketenteraan khususnya tentang TD.

Program ini bermula seawal 7.00 pagi melibatkan program utama iaitu pertandingan menembak antara pengamal media selain beberapa acara sampingan lain. Boleh dikatakan hampir kesemua media utama perdana telah dijemput termasuk wakil majalah pertahanan tempatan iaitu Perajurit, wakil Jane's Defence dan Tempur.  Kali ini, TD hanya fokuskan kepada raifal Steyr AUG untuk kegunaan pertandingan berbeza semasa penulis dijemput pada program yang sama, kiranya lebih 5 tahun lalu di mana, pengamal media boleh memilih sama ada raifal M16 atau Steyr.

Kali ini, penulis bernasib baik kerana senjata yang digunakan iaitu Steyr AUG tidak mengalami sebarang `stoppages' iaitu tersekat. Ada beberapa rakan penulis yang mengalami keadaan ini dan agak mengecewakan kerana ini sekaligus mengganggu konsentrasi tembakan. Selaku wakil media sebagai penembak individu, walaupun berjaya membuat tembakan ke arah sasaran, tetapi tidak layak untuk mendapat tempat kesepuluh terbaik keseluruhan. Manakala, tim penembak Perajurit dalam kategori jatuhan piring, masih tidak dapat buang badi lama, di mana tewas dalam pusingan kedua. Pasukan Berita Harian mengungguli pertandingan kali ini, dan tempat kedua pula oleh penembak daripada Jane's yang diketuai oleh Saudara Dzirhan.

Penulis sedang membuat tembakan menggunakan Steyr AUG
Gambar ehsan Saudara N.S Shah


Penganjuran Program


Rejimen Artileri DiRaja (RAD) telah diberi tanggungjawab untuk mengendalikan program kali ini. Mereka yang berpangkalan di Gemas, telah datang ratusan kilometer untuk memastikan segala keperluan program ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin. Selain itu Markas TD, khususnya Perhubungan Awam dan sel-sel sokongan turut terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini. Kali ini, penganjuran program ini mendapat tajaan syarikat korporat seperti Maxis, Sapura, wakil Glock Malaysia Teguh Budimas dan aiskrim WAFI. Melalui pendekatan ini, sekurangnya kos penganjuran program ini dapat dikurangkan dan menjimatkan perbelanjaan. Paling dipuji, makanan cukup mewah, daripada pagi sampai ke petang, pelbagai juadah disediakan. Memang memuaskan!

Program Sampingan


Program utama adalah menembak, selain itu ada beberapa acara sampingan diadakan seperti pertandingan `Bullet Challenge', masukkan peluru dalam kelongsong, pakai kasut, pasang uniform dan `combat camo dressing'. Pasangan daripada Perajurit iaitu Saudara Zaharudin dan N.S Shah memenangi acara `combat demo dressing', hadiah berupa benet daripada jenama Glock. Selain itu, terdapat juga pertandingan karaoeke dan pertandingan  menembak pistol VIP. Saudara N.S Shah juga antara yang bertuah kerana mendapat cabutan bertuah IPad 2, memang bertepatan lagi hadiah tersebut buat beliau.

VIP


Menteri Pertahanan,YB Dato' Seri Dr. Zahid Hamidi telah datang sekitar jam 3.00 petang untuk merasmikan dan menyempurnakan majlis tersebut. Beliau dengan gaya ranggi, menaiki motor Harley Davidson berceloreng, dikawal ketat oleh tim kawalan rapat yang dilengkapi dengan motor Ducati dan beberapa kenderaan lain. Dalam ucapan beliau, pada sambutan TD ke 80 pada 2013, lebih ramai akan dijemput termasuk wakil media pembangkang bagi memberikan mereka kefahaman yang lebih berkaitan isu pertahanan.

YB Menteri Pertahanan diberi taklimat oleh pegawai TD

Tim Penembak Perajurit


Peningkatan Program

Berdasarkan pemerhatian penulis, TD boleh menambaik baik program ini tanpa perlu berbelanja besar dengan melaksanakan beberapa pendekatan :-


  1. Mengedarkan satu `handbook' berkaitan organisasi TD dan glosari ketenteraan dalam bahasa Melayu. Jika ada peruntukan, boleh juga dimasukkan maklumat bergambar aset utama milik TD untuk rujukan pengamal media. Ini bakal mengurangkan kesilapan seperti keliru antara kenderaan pengangkut berperisai dengan kereta kebal.
  2. Pertandingan menembak digantikan dengan acara ujian senjata infantri TD. TD boleh beri penjelasan kelas-kelas senjata seperti raifal tempur, mesingan am dan pistol, fungsi dan apa peranan sistem persenjataan ini kepada seorang anggota tentera. Ujian tembakan, di mana setiap wakil boleh menembak sama ada raifal, mesingan dan pistol dalam kadar terhad, satu atau dua butir untuk merasakan perbezaan antara senjata-senjata ini.
  3. TD juga boleh membuat persembahan ringkas tentang sejarah TD seperti Ops Gubir , Ops Bakara Market dalam paparan keperwiraan anggota TD melaksanakan tanggungjawab demi tanah air tercinta.
Melalui pendekatan ini, impak lebih berbeza dan akan beri kesan kerana pihak media dapat diberikan satu suntikan patriotisme secara tidak langsung. Ini melihat kepada kepelbagaian pihak media yang datang seperti Nanyang Siang Pau, Sin Chew dan China Press. Cuma baru saya perasan tiada wakil daripada Malaysia Nanban atau Tamil Nesan? Adakah mereka tidak dapat datang atau tidak disenaraikan, itu sesuatu yang hanya pihak TD boleh sahkan.

Tentera dan Rakyat Berpisah Tiada




Rabu, 18 April 2012

R-77 dan DSA 2012

Misteri R-77 TUDM akhirnya terungkai di DSA 2012

Tiada sebarang kejutan utama, sekadar beberapa kontrak untuk keperluan semasa ATM. Kebanyakan kontrak lebih kepada keperluan TD di mana pelbagai jenis amunisi dibeli daripada beberapa syarikat tempatan dan paling menarik perhatian pembelian 35 peluru berpandu RVV-AE atau R-77, peluru berpandu udara ke udara jarak sederhana (MRAAM). Tidak pasti versi sebenar yang dibeli, tetapi jarak efektif peluru berpandu ini adalah sekitar 40km sehingga 50km (ada versi yang mampu sehingga 160km).

Bagaimanapun, selaras dengan falsafah `Seciput daripada Kuala Lumpur', satu-satunya konsep pembelian yang paling konsisten di Malaysia, jumlah 35 buah MRAM dengan kos RM106.4 juta adalah satu pembelian tambahan, ini kerana kontrak pembelian Su-30MKM, telah pun disatukan dengan pakej persenjataan, cuma jumlah sebenar sistem persenjataan SU-30MKM, tidak dapat dipastikan. Adakah ini pembelian pertama TUDM untuk R-77? Pastinya sesuatu yang agak ironi bahawa selama ini Malaysia telah berjaya mengelirukan semua negara serantau bahawa TUDM telah lama memiliki R-77.

RVV-AE/R-77 - foto ehsan Wikipedia




Video CGI aksi penembakan R-77-ehsan Youtube

Cuma, tidak dapat dibayangkan bahawa, jika Skuadron SU-30MKM ingin beraksi, hanya satu penerbangan kombat sahaja perlu dilaksanakan dan TUDM tiada lagi stok MRAAM untuk dibawa.

Ringkasan berkaitan aset-aset bakal dimiliki ATM

AV-8

Memang menarik model yang dipaparkan. Agak berbeza daripada platform asal PARS dan dikhabarkan Deftech telah membeli IP dan bermakna bebas untuk membuat sebarang konfigurasi  yang disesuaikan dengan keperluan ATM/TD. Cuma sedikit hairan dengan kepelbagaian versi pembawa anggota, terdapat sekurangnya empat versi iaitu :-

1) Meriam 25mm Bushmaster
2) Meriam 30mm LWT 30
3) Meriam 30mm dengan ATGM
4) Sistem RWS dengan mesingan.

Mungkin ada faktor tersendiri, tetapi dengan menggunakan satu versi seperti meriam 30mm LWT 30 dan dipadankan dengan MGKA atau ATGW, kiranya mampu menangani sebarang ancaman sama ada musuh infantri, armor ringan dan sebagainya.


SGPV

DSA 2012 juga memperlihatkan konsep model SGPV daripada BNS, cuma belum ada keputusan muktamad berkaitan kuasa tembakan platform ini. Paling diberi fokus sama ada gandingan Mica VL dan Exocet MM40 Block III atau ESSM dan NSM akan dipilih. Ini kemungkinan akan ambil masa atau pilihan telah pun dibuat. Bagaimanapun, antara dua pilihan ini, pemilihan Exocet MM40 Block III akan memudahkan urusan logistik TLDM. Selain Exocet, TLDM masih lagi mengoperasikan Teseo Otomat, sistem legasi daripada kelas Laksamana. Jika penyelarasan sistem peluru berpandu dilakukan, maka TLDM hanya perlu mengoperasikan kelas Exocet sahaja, termasuk versi pelancaran udara AM-39 dan pelancaran kapal selam, SM-39.


Astross II

Tiada rejimen ketiga sebagaimana yang digembar-gemburkan. Kena tunggu DSA 2014 pula, mungkin kali ini TD bakal memiliki 1 rejimen SPH sama ada K-9 atau Archer. Bagi saya, 12 buah Archer SPH adalah satu kombinasi kuasa tembakan yang cukup ampuh.

STRIDE

Stride kali ini memaparkan `digital camo' TD. Sesuatu yang bukan lagi asing buat kita semua. Manakala, paling menarik. adalah pembangunan mortar 120mm. Sesuatu yang tidak dimiliki oleh TD dan mungkin satu opsyen menarik untuk menggantikan meriam 105mm yang telah usang dimamah usia.


Lain-lain

Antara ilmu yang diperolehi, semua syarikat pengeluar senjata secara keseluruhan dalam membuat jualan adalah berdasarkan konsep `customised service'. Kos bukan sesuatu yang boleh dibuat perbandingan, khususnya pembelian sistem aset utama. Jadi, kita tidak perlu membodohkan diri untuk buat perbandingan kenapa harga A murah daripada harga B, tanpa memahami kos dan faedah yang bakal diperolehi serta kesan jangka panjang dan paling utama perkhidmatan sokongan yang diberikan. Ini semua memerlukan kajian dan perancangan yang cukup teliti dan sekadar membaca beberapa blog, majalah pertahanan  atau jurnal tidak akan mampu membantu kita memahami keperluan sebenar anggota tentera. Paling utama, adalah menukar mentaliti bahawa tiada jalan mudah untuk kejayaan. Kerajaan perlu lebih serius dan mengenalpasti mana-mana syarikat yang lebih 10 tahun beroperasi dan menunjukkan komitmen dan jati diri dalam industri pertahanan dan mereka patut diberi keutamaan. Jika ini dapat dilaksanakan, maka setiap projek dilaksanakan akan ada kesinambungan dan relevan dengan keperluan dan kelengkapan semasa. Jangan dijadikan industri ini sebagai `once in a life time moment', ini adalah tunjang kemandirian keselamatan dan kedaulatan negara, jika ada yang cuba ambil kesempatan, maka dia adalah petualang negara!.

Isnin, 16 April 2012

DSA 2012



Pejam celik, pejam celik, DSA 2012 kembali menjelma. Masih ingat kejutan DSA 2010 apabila pengumuman Kerajaan berkaitan perolehan AV-8. Kali ini, kita bakal menyaksikan beberapa versi yang katanya telah dikenal pasti untuk dibangunkan buat TD.


Menariknya, DSA 2012 kali ini bakal menyajikan beberapa program istimewa termasuk demonstrasi pasukan khusus daripada Gerak Khas dan beberapa program menarik untuk tontonan tetamu kehormat dan rakan dagang. Cuma penulis bertanya, syarikat mana membina laman web DSA 2012? Sekali pandang macam laman web sekolah menengah pula. Maaf, jika ada terasa, tetapi sebagai program yang berprestij dan urusniaga sehingga ribuan juta, sebaiknya gunakan platform tersebut untuk membuat kita semua rasa bangga.


Hari ini, adalah hari pembukaan DSA 2012 yang akan berakhir pada 19 April 2012. Penulis belum ada baca sebarang berita terkini berkaitan DSA, mungkin tiada `big ticket item' sebab menjelang PRU 13.


Adalah diharapkan, pasti ada beberapa LOI dan LOA bakal dimeterai melibatkan sub-sistem dan sebagainya untuk TD. Jika ada kontrak perolehan sistem optik dan aksesori M-4 pun dikira satu bonus, manakala perolehan untuk GAPU, Rejimen Artileri DiRaja dan sebagainya pasti bakal buka mata, tetapi kemungkinannya adalah mustahil sama sekali.


Ini jangkaan penulis beberapa peralatan atau sistem yang bakal dimeterai pada DSA 2012.


AV-8


Pengesahan versi AV-8, termasuk sistem turet dan sebagainya. Pasti ada `mock-up; walaupun kurang pasti jika Deftech bakal bawa `live size' FNSS PARS untuk dilihat bersama pengunjung. Boleh disaksikan sama ada kali ini AV-8 lebih menyediakan ruang lebih selesa  dan selamat berbanding Condor atau Sibmas.


SGPV


BNS telah menyatakan LOA untuk sistem kawalan kombat dan maklumat serta kawalan tembakan untuk SGPV. Berita ini ada dilaporkan di akhbar dan blog-blog pertahanan tempatan. Mungkin DSA 2012 dapat mempamerkan sistem SETIS dan sistem Rheinmental FCS. 


Astross II

Ada dilaporkan pembahanan 1 rejimen roket untuk TD. Cuma lebih menarik jika diumumkan perolehan jenis roket, selain roket standard seperti SS-30 dan SS-80, adakah sistem ini sedia digunakan untuk AV-300MT. Pasti gawat rantau Asia Tenggara.

A 400M

Pameran statik di Subang Airport, pesawat A-400M Grizzly 4 sempena DSA 2012. Tidak pasti jika ada cadangan demonstrasi penerbangan aras rendah pesawat ini sekitar PWTC. Pasti gawat!


Lain-lain

Selain itu, syarikat NGV Tech pasti akan pamerkan model kapal latihan yang mereka bakal bina untuk TLDM dan juga beberapa model bot peronda saiz kecil untuk kegunaan Maritim Malaysia. BNS juga akan pamerkan model SGPV berasaskan Gowind, sebagaimana yang dipamerkan oleh LIMA 2011.

Ada satu lagi pengumuman yang bakal mengejutkan, perolehan AV-4 untuk kegunaan anggota pengaman kita di Lubnan. Ada kemungkinan? Sebab TD masih lagi belum umumkan kenderaan yang bakal ganti Condor di Lubnan. Pernah ada ura-ura ingin membeli Anoa buatan Indonesia tetapi rupanya sekadar ura-ura. Ini mungkin satu kemungkinan.

Ini semua sekadar pemerhatian penulis, tiada siapa yang beritahu dan penulis bukanlah seorang wartawan, pemain industri atau pegawai kerajaan. Sekadar pembayara cukai yang prihatin dan yang mahukan hanya yang terbaik buat ATM.