Jumaat, 12 Jun 2009

Pendekatan baru tambah dana pertahanan

YB Dato Seri Dr. Zahid Hamidi diwawancara oleh
Sayed Munawar dalam rancangan Dialog, TV1
 





TV1 pada 10 Jun 2009 telah menyiarkan program Dialog di mana tetamu jemputan merupakan Menteri Pertahanan, YB Dato' Seri Dr. Zahid Hamidi. Beliau diwawancara oleh hos TV1 iaitu Sayed Munawar. Apabila Sayd Munawar memaklumkan melalui laman Facebook bahawa YB Menteri Pertahanan akan dijemput dan menawarkan peluang untuk mengutarakan soalan, pastinya ini satu peluang yang tidak akan dilepaskan.


Saudara Sayed Munawar telah bermurah hati mengutarakan dua soalan daripada saya kepada YB Menteri Pertahanan iaitu berkenaan isu persaraan MiG-29N dan isu perolehan pada kuantiti yang menyedihkan.


Persoalan tersebut dijawab oleh beliau yang mengatakan kos selenggara yang tinggi menyebabkan kerajaan terpaksa menamatkan khidmat MiG-29N. Manakala, alasan yang sama digunakan kenapa kerajaan terpaksa membeli aset-aset seperti pesawat pejuang dalam jumlah yang tidak ekonomi, malahan tidak pada jumlah yang optimum.

Malahan, beliau bercadang untuk mengatasi masalah kekangan dana ini, mungkin pendekatan seperti SPV digunakan di mana terbitan bon atau sukuk boleh diperkenalkan bagi menampung kos perolehan. Ini pertama kali, satu idea perolehan yang menggunakan instrumen kewangan dalam pasaran komersial dicetuskan.

Ahli forum Gempurwira.com ada mengutarakan beberapa pandangan tentang pendekatan perolehan sebegini, dan rata-rata kurang bersetuju atas alasan kesan kepada ekonomi mungkin lebih ketara.

YB Menteri Pertahanan pastinya arif bahawa dalam konteks pembelian, adalah lebih menguntungkan pembelian secara pukal berbanding secara runcit. Selain mengurangkan masalah logistik dengan pembelian pada kuantiti minimum dan pelbagai barangan, pembelian pada jumlah yang realistik memberikan pelbagai kelebihan.

Sebagai contoh, melalui pembelian pada skala yang besar, pengeluar sanggup menawarkan harga yang lebih komptetitif selain program timbal balik yang lebih bernilai tinggi. Sebagaimana pembelian Su-30 MKM, jika negara memilih untuk membeli dua skuadron penuh berjumlah 48 buah, mungkin opsyen pembelian termasuk pembelian balik 17++ MiG-29N yang dalam pegangan dan seterusnya pembinaan pusat MRO untuk kategori Su-27/30 di Malaysia, ini adalah satu kelebihan keranan selain Malaysia, Indonesia dan Vietnam juga merupakan pengguna pesawat ini. Kedudukan Malaysia yang strategik dan kepakaran modal insan yang sedia ada membolehkan Malaysia menjadi pusat MRO serantau pesawat-pesawat sebegini.

Selain, itu timbal balik teknologi pertahanan yang sesuai seperti teknologi meriam 30mm dan sebagainya boleh digunakan oleh industri pertahanan negara dalam membangunkan sistem persenjataan tempur untuk anti armor dan anti pesawat. Bagi mengurangkan beban kewangan, pakej pembelian boleh digabungkan antara tunai dan barangan. Jika pihak Russia keberatan, dengan jumlah keperluan 48 buah pesawat MRCA, Perancis, Sweden dan US sendiri akan berminat menawarkan pakej yang menarik untuk Rafale, Gripen dan Super Hornet.

Perkara paling utama ingin ditekankan ialah `bargaining power' atau kuasa rundingan, selain itu, boleh juga dijadikan strategi di mana tender meletakkan keperluan pada jumlah yang tinggi dahulu seperti sehingga 72 pesawat dan daripada situ dapat dilihat bentuk tawaran yang diberikan oleh syarikat-syarikat tersebut dalam cuba memikat negara untuk memilih mereka. Bak kata pepatah, kalau boleh langit pun mereka nak jual!

Senario tender terbuka ini pastinya memberikan satu kelebihan kepada negara untuk memilih opsyen terbaik dan juga memberi peluang kepada TUDM mencuba pesawat-pesawat terkini di pasaran. Semasa proses uji nilai, pastinya TUDM berpeluang meneliti teknologi yang diguna pakai dan ini boleh dijadikan rujukan untuk strategi pertahanan negara sendiri.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan