Ahad, 21 Jun 2009

Paksaan persaraan MiG-29N, wajarkah?





Dua buah MiG-29N, tunjang pemintasan udara TUDM-foto oleh Chaity

Apabila Menteri Pertahanan baru, YB Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pada 1 Jun 2009 bahawa Skuadron MiG-29N akan dibersarakan, bukanlah satu berita yang mengejutkan kepada pemerhati pertahanan tempatan. Berita mengenai persaraan ini telah bertiup kencang sejak beberapa tahun lalu setelah pembelian Su-30MKM dimeterai.

Alasan yang diberikan adalah kerana kos penyelenggaraan yang terlalu tinggi. Selain itu, kesukaran mendapatkan alat ganti daripada pihak pembekal iaitu Russia menyebabkan kerajaan sedikit tawar hati untuk mengekalkan pesawat ini.

Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin berkata, sementara kajian mengenainya dilakukan, pesawat MiG-29N akan beroperasi seperti biasa. Ini termasuk operasi senggara berkala tetap dilaksanakan. Penamatan khidmat MiG-29N bermakna kerajaan perlu mencari sekurangnya 18 buah pesawat MRCA seperti Su-30MKM atau Super Hornet bagi menggalas tugasan pemintasan yang dilaksanakan oleh MiG-29N selama ini. Ada juga khabar bahawa pesawat satu enjin seperti Gripen dan Rafale turut mengintai peluang dan mungkin Eurofighter juga ada hasrat meluaskan pasaran mereka di Asia Tenggara sendiri.

Tetapi satu perkara yang pasti, skuadron MiG-29N tidak boleh dibersarakan selagi skuadron penggantinya beroperasi sepenuhnya. Jika tidak, akan jadilah pepatah yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran.

Imbas kembali, pemilikan MiG-29N oleh TUDM sebenarnya memberikan impak yang besar kepada senario pertahanan serantau. Kesan pembelian tersebut menyebabkan beberapa negara serantau melengkapkan pertahanan mereka dengan senjata terkini antaranya AMRAAM. Ini dilandaskan kepada keupayaan MiG-29N sendiri yang memiliki sistem radar yang membolehkan ia melancarkan R-77 Adder, peluru berpandu BVR (beyond visual range) ini membolehkan MiG-29N memusnahkan sasaran pada jarak sehingga 90km pada kelajuan 3.0 Mach adalah satu keupayaan yang tiada saingannya ketika itu. Bagaimanapun, tiada bukti atau sebarang pengumumuman bahawa TUDM membeli peluru berpandu tersebut. Tunjang sistem peluru berpandu MiG-29N adalah R-27R1 dan R-73E1 AAM yang mana, R-73 adalah sistem peluru berpandu jarak sederhana dengan jarak tembakan sehingga 30km.


R-77 Adder, peluru berpandu BVR Russia

Persoalan yang di benak fikiran adalah kewajaran persaraan MiG-29N sendiri. Tanpa maklumat terperinci daripada kerajaan, maka sukar untuk membuat andaian bahawa pengoperasian kos MiG terlalu tinggi dan tiada kewajaran untuk diteruskan. Berdasarkan maklumat tidak rasmi, TUDM lebih selesa mengoperasikan F/A-18 Hornet berbanding MiG-29N kerana Hornet lebih mudah diselenggara dan mesra pengguna berbanding MiG. Ini tidak dapat disangkalkan lagi kerana doktrin teknologi kedua negara amatlah berbeza. Manual yang lengkap dan teliti serta ditulis dalam bahasa Inggeris bukan diterjemahkan bermakna anggota TUDM tiada masalah mengendalikan F/A 18.

Tetapi setelah lebih 10 tahun mengendalikan MiG, TUDM juga memperolehi kepakaran yang tinggi dan pastinya lebih arif terhadap kerenah pesawat ini. ATSC, syarikat yang bertanggungjawab mengendalikan selenggaranya juga pasti telah memiliki tahap kepakaran yang sama bagi membolehkan mereka berdikari dan inovatif dalam melaksanakan selenggara pesawat tersebut.

Selain Malaysia, antara negara yang mengoperasikan MiG-29 adalah Myanmar, Bangladesh, Yaman, Poland, Bulgaria, Slovakia dan lain-lain. Buat masa ini, antara negara antara negara yang telah secara rasmi membersarakan MiG-29 adalah Luftwaffe, pasukan udara Jerman dan Republik Czech. Bagaimanapun, lebih 30 negara masih mengoperasikan pesawat ini. Bahkan ada versi terbaru telah diperkenalkan oleh Russian seperti versi MiG-29 SMT. Pakej tingkat upaya ini membolehkan MiG-29 memiliki keupayaan terkini seperti radar Phazotron Zhuk ME dengan keupayaan mengesan 10 sasaran pada jarak 245km. Pesawat ini juga miliki jarak operasi yang lebih jauh dan sistem penerbangan digital dan kokpit kaca.

Bagaimanapun, isu utama yang ditekankan bahawa MiG-29N masih mampu berkhidmat sekurangnya 10 sehingga 15 tahun lagi. Melainkan Kerajaan mampu menyediakan kepada TUDM 1 skuadron MRCA dalam tempoh 5 tahun, maka barulah wajar untuk membersarakan MiG-29N. Masalahnya sekarang ini, projek EC-725 masih tertangguh, projek AEW juga begitu dan ini adalah projek yang dianggap memakan masa sekurangnya 10 tahun untuk direalisasikan secara keseluruhan. Adalah agak sukar untuk yakin bahawa Kerajaan akan menyediakan dana yang cukup bagi melaksanakan program-program tersebut.

Cuba lihat satu contoh, Poland antara pengguna MiG-29, pada asalnya hanya membeli 12 pesawat pada 1989, iaitu 9 MiG-29 dan 3 MiG-29UB. Lebih rendah kuantiti berbanding TUDM yang memiliki 18 buah MiG-29. Pada 1994, Poland memperolehi 10 buah MiG-29 daripada Republik Czech, di mana 9 buah MiG-29 dan 1 buah MiG-29 UB.

Pada tahun 1998, apabila Poland menyertai NATO maka kesemua MiG-29 miliknya ditingkat upaya kepada standard operasi NATO. Pada Februari 1999, Kementerian Pertahanan Poland memberi kontrak bernilai USD58 juta kepada DASA Jerman bagi pelaksanaan program tersebut. Kita harus sedar bahawa TUDM telah melaksanakan proses integrasi sistem MiG-29N dengan avionik standard barat pada awal pembelian lagi. Ini menunjukkan versi MiG-29N adalah `NATO compatible' sejak diperolehi pada awal 90-an.

Poland pada 2003, menerima 22 buah MiG-29 milik Luftwaffe dan ditingkat upaya pada tahap operasi. Perkara utama yang ingin ditekankan bahawa Poland merancang menggunakan MiG-29 mereka dan pada 2009 akan melaksanakan program tingkat upayanya, sasaran mereka MiG-29 akan beroperasi sehingga tahun 2025!. TUDM yang kini hanya memiliki 14 MiG-29N berbanding pada awalnya 18 buah semakin ketinggalan. Pengoperasian SU-30MKM pun masih belum sepenuhnya. Berdasarkan masalah integrasi yang dihadapi SU-30MKM, bermakna keadaan masih lagi kurang memberangsangkan buat TUDM. Berbanding MiG-29N yang telah pun dikira matang dan mampu melancarkan ordnans udara-ke-udara tanpa sebarang masalah walaupun menggunakan R-77, bermakna pesawat ini masih berbisa dan mampu memberikan satu igauan pada mana-mana musuh yang cuba mengintai ruang udara negara.

Cuma satu sahaja opsyen yang tinggal, jika MiG-29N dibersarakan, kos persaraan dapat diperolehi dan terus digantikan dengan 1 skuadron MRCA sama ada Gripen atau Rafale barulah terlihat kewajaran tersebut.

MiG-29 milik Poland

Tiada ulasan:

Catat Ulasan