Rabu, 18 April 2012

R-77 dan DSA 2012

Misteri R-77 TUDM akhirnya terungkai di DSA 2012

Tiada sebarang kejutan utama, sekadar beberapa kontrak untuk keperluan semasa ATM. Kebanyakan kontrak lebih kepada keperluan TD di mana pelbagai jenis amunisi dibeli daripada beberapa syarikat tempatan dan paling menarik perhatian pembelian 35 peluru berpandu RVV-AE atau R-77, peluru berpandu udara ke udara jarak sederhana (MRAAM). Tidak pasti versi sebenar yang dibeli, tetapi jarak efektif peluru berpandu ini adalah sekitar 40km sehingga 50km (ada versi yang mampu sehingga 160km).

Bagaimanapun, selaras dengan falsafah `Seciput daripada Kuala Lumpur', satu-satunya konsep pembelian yang paling konsisten di Malaysia, jumlah 35 buah MRAM dengan kos RM106.4 juta adalah satu pembelian tambahan, ini kerana kontrak pembelian Su-30MKM, telah pun disatukan dengan pakej persenjataan, cuma jumlah sebenar sistem persenjataan SU-30MKM, tidak dapat dipastikan. Adakah ini pembelian pertama TUDM untuk R-77? Pastinya sesuatu yang agak ironi bahawa selama ini Malaysia telah berjaya mengelirukan semua negara serantau bahawa TUDM telah lama memiliki R-77.

RVV-AE/R-77 - foto ehsan Wikipedia




Video CGI aksi penembakan R-77-ehsan Youtube

Cuma, tidak dapat dibayangkan bahawa, jika Skuadron SU-30MKM ingin beraksi, hanya satu penerbangan kombat sahaja perlu dilaksanakan dan TUDM tiada lagi stok MRAAM untuk dibawa.

Ringkasan berkaitan aset-aset bakal dimiliki ATM

AV-8

Memang menarik model yang dipaparkan. Agak berbeza daripada platform asal PARS dan dikhabarkan Deftech telah membeli IP dan bermakna bebas untuk membuat sebarang konfigurasi  yang disesuaikan dengan keperluan ATM/TD. Cuma sedikit hairan dengan kepelbagaian versi pembawa anggota, terdapat sekurangnya empat versi iaitu :-

1) Meriam 25mm Bushmaster
2) Meriam 30mm LWT 30
3) Meriam 30mm dengan ATGM
4) Sistem RWS dengan mesingan.

Mungkin ada faktor tersendiri, tetapi dengan menggunakan satu versi seperti meriam 30mm LWT 30 dan dipadankan dengan MGKA atau ATGW, kiranya mampu menangani sebarang ancaman sama ada musuh infantri, armor ringan dan sebagainya.


SGPV

DSA 2012 juga memperlihatkan konsep model SGPV daripada BNS, cuma belum ada keputusan muktamad berkaitan kuasa tembakan platform ini. Paling diberi fokus sama ada gandingan Mica VL dan Exocet MM40 Block III atau ESSM dan NSM akan dipilih. Ini kemungkinan akan ambil masa atau pilihan telah pun dibuat. Bagaimanapun, antara dua pilihan ini, pemilihan Exocet MM40 Block III akan memudahkan urusan logistik TLDM. Selain Exocet, TLDM masih lagi mengoperasikan Teseo Otomat, sistem legasi daripada kelas Laksamana. Jika penyelarasan sistem peluru berpandu dilakukan, maka TLDM hanya perlu mengoperasikan kelas Exocet sahaja, termasuk versi pelancaran udara AM-39 dan pelancaran kapal selam, SM-39.


Astross II

Tiada rejimen ketiga sebagaimana yang digembar-gemburkan. Kena tunggu DSA 2014 pula, mungkin kali ini TD bakal memiliki 1 rejimen SPH sama ada K-9 atau Archer. Bagi saya, 12 buah Archer SPH adalah satu kombinasi kuasa tembakan yang cukup ampuh.

STRIDE

Stride kali ini memaparkan `digital camo' TD. Sesuatu yang bukan lagi asing buat kita semua. Manakala, paling menarik. adalah pembangunan mortar 120mm. Sesuatu yang tidak dimiliki oleh TD dan mungkin satu opsyen menarik untuk menggantikan meriam 105mm yang telah usang dimamah usia.


Lain-lain

Antara ilmu yang diperolehi, semua syarikat pengeluar senjata secara keseluruhan dalam membuat jualan adalah berdasarkan konsep `customised service'. Kos bukan sesuatu yang boleh dibuat perbandingan, khususnya pembelian sistem aset utama. Jadi, kita tidak perlu membodohkan diri untuk buat perbandingan kenapa harga A murah daripada harga B, tanpa memahami kos dan faedah yang bakal diperolehi serta kesan jangka panjang dan paling utama perkhidmatan sokongan yang diberikan. Ini semua memerlukan kajian dan perancangan yang cukup teliti dan sekadar membaca beberapa blog, majalah pertahanan  atau jurnal tidak akan mampu membantu kita memahami keperluan sebenar anggota tentera. Paling utama, adalah menukar mentaliti bahawa tiada jalan mudah untuk kejayaan. Kerajaan perlu lebih serius dan mengenalpasti mana-mana syarikat yang lebih 10 tahun beroperasi dan menunjukkan komitmen dan jati diri dalam industri pertahanan dan mereka patut diberi keutamaan. Jika ini dapat dilaksanakan, maka setiap projek dilaksanakan akan ada kesinambungan dan relevan dengan keperluan dan kelengkapan semasa. Jangan dijadikan industri ini sebagai `once in a life time moment', ini adalah tunjang kemandirian keselamatan dan kedaulatan negara, jika ada yang cuba ambil kesempatan, maka dia adalah petualang negara!.

Isnin, 16 April 2012

DSA 2012



Pejam celik, pejam celik, DSA 2012 kembali menjelma. Masih ingat kejutan DSA 2010 apabila pengumuman Kerajaan berkaitan perolehan AV-8. Kali ini, kita bakal menyaksikan beberapa versi yang katanya telah dikenal pasti untuk dibangunkan buat TD.


Menariknya, DSA 2012 kali ini bakal menyajikan beberapa program istimewa termasuk demonstrasi pasukan khusus daripada Gerak Khas dan beberapa program menarik untuk tontonan tetamu kehormat dan rakan dagang. Cuma penulis bertanya, syarikat mana membina laman web DSA 2012? Sekali pandang macam laman web sekolah menengah pula. Maaf, jika ada terasa, tetapi sebagai program yang berprestij dan urusniaga sehingga ribuan juta, sebaiknya gunakan platform tersebut untuk membuat kita semua rasa bangga.


Hari ini, adalah hari pembukaan DSA 2012 yang akan berakhir pada 19 April 2012. Penulis belum ada baca sebarang berita terkini berkaitan DSA, mungkin tiada `big ticket item' sebab menjelang PRU 13.


Adalah diharapkan, pasti ada beberapa LOI dan LOA bakal dimeterai melibatkan sub-sistem dan sebagainya untuk TD. Jika ada kontrak perolehan sistem optik dan aksesori M-4 pun dikira satu bonus, manakala perolehan untuk GAPU, Rejimen Artileri DiRaja dan sebagainya pasti bakal buka mata, tetapi kemungkinannya adalah mustahil sama sekali.


Ini jangkaan penulis beberapa peralatan atau sistem yang bakal dimeterai pada DSA 2012.


AV-8


Pengesahan versi AV-8, termasuk sistem turet dan sebagainya. Pasti ada `mock-up; walaupun kurang pasti jika Deftech bakal bawa `live size' FNSS PARS untuk dilihat bersama pengunjung. Boleh disaksikan sama ada kali ini AV-8 lebih menyediakan ruang lebih selesa  dan selamat berbanding Condor atau Sibmas.


SGPV


BNS telah menyatakan LOA untuk sistem kawalan kombat dan maklumat serta kawalan tembakan untuk SGPV. Berita ini ada dilaporkan di akhbar dan blog-blog pertahanan tempatan. Mungkin DSA 2012 dapat mempamerkan sistem SETIS dan sistem Rheinmental FCS. 


Astross II

Ada dilaporkan pembahanan 1 rejimen roket untuk TD. Cuma lebih menarik jika diumumkan perolehan jenis roket, selain roket standard seperti SS-30 dan SS-80, adakah sistem ini sedia digunakan untuk AV-300MT. Pasti gawat rantau Asia Tenggara.

A 400M

Pameran statik di Subang Airport, pesawat A-400M Grizzly 4 sempena DSA 2012. Tidak pasti jika ada cadangan demonstrasi penerbangan aras rendah pesawat ini sekitar PWTC. Pasti gawat!


Lain-lain

Selain itu, syarikat NGV Tech pasti akan pamerkan model kapal latihan yang mereka bakal bina untuk TLDM dan juga beberapa model bot peronda saiz kecil untuk kegunaan Maritim Malaysia. BNS juga akan pamerkan model SGPV berasaskan Gowind, sebagaimana yang dipamerkan oleh LIMA 2011.

Ada satu lagi pengumuman yang bakal mengejutkan, perolehan AV-4 untuk kegunaan anggota pengaman kita di Lubnan. Ada kemungkinan? Sebab TD masih lagi belum umumkan kenderaan yang bakal ganti Condor di Lubnan. Pernah ada ura-ura ingin membeli Anoa buatan Indonesia tetapi rupanya sekadar ura-ura. Ini mungkin satu kemungkinan.

Ini semua sekadar pemerhatian penulis, tiada siapa yang beritahu dan penulis bukanlah seorang wartawan, pemain industri atau pegawai kerajaan. Sekadar pembayara cukai yang prihatin dan yang mahukan hanya yang terbaik buat ATM. 

Ahad, 23 Oktober 2011

LIMA 2011-Apakah aset bakal diperolehi ATM?

Menjelang LIMA 2011, ada beberapa kontrak besar lazimnya akan diumumkan oleh kerajaan Malaysia dalam memastikan bahawa penyertaan syarikat-syarikat dalam LIMA 2011 masih menyengat. Bagaimanapun, tidak dinafikan, bahawa kekangan kewangan menyebabkan kerajaan Malaysia tidak mampu untuk melaksanakan program perolehan berdasarkan perancangan asal. Bagaimanapun, ini tidak bermakna tiada penambahan aset, cuma penangguhan terpaksa dilakukan bagi memastikan peruntukan sedia ada mencukupi.

Skuadron MRCA TUDM
Antara perkembangan menarik adalah hasrat TUDM untuk mendapatkan satu skuadron MRCA bagi menyokong keperluan operasi TUDM buat masa ini. Beberapa calon telah disenaraikan iaitu Eurofighter Typhoon, Rafale, Super Hornet dan Gripen. Perkembangan terbaru dilaporkan hanya Typhoon dan Super Hornet  telah disenarai pendek (walaupun tiada pengumuman rasmi daripada TUDM), bermakna ada kemungkinan calon yang berjaya bakal diumumkan semasa LIMA 2011. Pertimbangan TUDM untuk tidak mengambil kira sistem pesawat Russia, berkemungkinan isu perkhidmatan sokongan jualan masih belum memuaskan. Sehingga kini, Skuadron Su-30 MKM telah mula beroperasi dan latihan yang disertai memperlihatkan pesawat ini menggugurkan `dumb bom' dan roket tanpa panduan. Bagaimanapun, adakah TUDM sengaja menyimpan kuku atau Su-30 MKM ada masalah dengan integrasi sistem senjata berpandu dengan sistem panduannya adalah tidak dapat dipastikan sehingga kini. Adalah diharapkan pada masa hadapan, TUDM dapat menunjukkan kepada rakyat selaku pembayar cukai kemampuan pesawat-pesawat tempur ini melancarkan sistem senjatanya sebagaimana yang ditugaskan. Ini akan meyakinkan rakyat bahawa TUDM ada kemampuan dengan aset-asetnya.

Pesawat Typhoon melancarkan peluru berpandu anti pesawat ASRAAM - Foto Milavia.net
Super Hornet dengan sistem persenjataan yang boleh dibawa - foto FAS.org


SGPV
Bagi TLDM pula, LIMA 2011 adalah platform penentu sama ada platform sistem SGPV yang diumumkan sebelum ini akan diperkenalkan kepada umum. Berdasarkan maklumat industri, sistem Gowind, Sigma dan Meko antara yang dipertimbangkan. Ada sumber menyatakan Gowind telah dipilih dan sekaligus menjadikan Perancis rakan pertahanan strategik baru negara kerana perolehan sistem kapal selam Scorpene dan helikopter EC-725 daripada negara yang sama.

Adalah terlalu awal untuk menjangkakan tentang mana-mana platform yang bakal dipilih. Pada asasnya, Perancis bukan sebuah negara yang agak konsisten dari segi polisi luarnya. Pembelian Scorpene diwarnai dengan pelbagai isu dan kesannya menyebabkan rakyat agak pesimis dengan keupayaan sistem ini. Jerman selaku pengeluar platform Meko dilihat lebih stabil. Dikatakan juga, jika Gowind dipilih sistem persenjataan pastinya yang dikeluarkan Perancis seperti sistem peluru berpandu Exocet MM40 Block III dan lain-lain.

Ada sumber mengatakan TLDM agak selesa dengan platform Sigma, ini berkemungkinan kerana platform ini boleh dianggap `proven design' berbanding platform Meko yang mana TLDM ada pengalaman yang menyebabkan platform ini tidak lagi menjadi pilihan utama (antaranya isu `funnel' yang boleh menyebabkan risiko kerosakan enjin).
Platform Sigma- foto Meretmarine-kredit DSNS

Antara konfigurasi Gowind dalam bentuk SGPV-foto Defense Industry Daily


Perkara utama, LIMA 2011 pasti bawa kejutan buat pemerhati pertahanan, mungkin bakal ada pengumuman diluar jangkaan atau tiada langsung. Tetapi kerajaan tahu, tanpa perolehan utama, untuk menarik untuk pengeluar asing mempromosikan sistem senjata mereka di LIMA 2011, pada LIMA 2013, adalah sesuatu yang sukar.Hanya mengharapkan penyertaan syarikat tempatan yang masih terhad dari segi produk dan sebagainya bukan satu opsyen yang dikehendaki. Cuma diharapkan limbungan tempatan seperti NGV Tech dapat pamerkan model MPSS untuk TLDM, antara keperluan mendesak TLDM buat masa ini. Kita tunggu dan lihat.

Sabtu, 24 April 2010

AV-8 pilihan TD

Foto FNSS PARS digabung bersama turet LCT30 bagi menggantikan peranan Sibmas FSV

DSA 2010 telah melabuhkan tirainya dan perkara paling menarik perhatian semua adalah LOI antara Kerajaan Malaysia dan Deftech bagi program penggantian Sibmas dan Condor di mana Deftech akan bangunkan AV-8 dalam 12 varian bagi keperluan TD.

Kos yang disebut dalam LOI ini adalah RM8 bilion bagaimanapun melalui pelbagai sumber berita dapat difahamkan bahawa kos ini adalah anggaran bagi program ini secara keseluruhan.

Deftech akan berkerjsama dengan FNSS daripada Turki dan Denel daripada Afrika Selatan bagi membangunkan platform 8x8 TD yang terkini. Beberapa blog pertahanan menyambut baik program ini walaupun pada awalnya berita ini dianggap satu kejutan kerana tidak menyangka kerajaan akan mengumumkan LOI kepada mana-mana pihak berkenaan program ini.

Deftech dan FNSS bukan lagi asing antara satu sama lain. Kejayaan Deftech membekalkan Adnan IFV kepada TD di mana platform ini dibangunkan oleh FNSS sendiri mewujudkan satu hubungan erat di antara mereka. Turki merupakan antara negara Islam yang dikira memiliki industri pertahanan yang cukup maju dan tidak dinafikan bahawa Turki memiliki beberapa akses teknologi pertahanan dengan Israel sendiri. Hubungan ini bagaimanapun sejak akhir-akhir ini goyah akibat sikap Israel dalam isu Israel Palestin yang tiada kesudahan.

Bagaimanapun, pastinya Turki selama ini telah dapat mempelajari budaya kerja dan amalan industri pertahanan Israel sekaligus membina kemahiran dan kepakaran mereka.

Kerjasama dengan Denel, Afrika Selatan juga adalah satu lagi sekutu rapat Malaysia. Denel dengan kepakaran tersendiri dalam industri pertahanan pastinya akan menggunakan Malaysia sebagai batu loncatan untuk mereka meneroka program pertahanan serantau yang cukup dinamik dan memiliki pertumbuhan yang agak tinggi.

FNSS akan membangunkan satu platform bersama Deftech dan Denel pula akan menyediakan sistem turet yang akan digunakan oleh platform AV-8. Penulis berkesempatan memasuki ruang turet LCT-30 dan mengakui bahawa turet ini agak luas dan selesa bagi dua anggota untuk mengendalikannya. Sistem turet ini juga dikira modular dan boleh dikonfigurasi mengikut kehendak TD.

Bagi sistem komunikasi dan `fire control', TD memilih sistem yang sama digunakan oleh PT-91 dan ini bermakna TD memahami keperluan penyelarasan sistem bagi membolehkan kesemua aset TD memiliki keupayaan berhubung antara satu sama lain.

Melalui perolehan ini, jika perancangan kali ini lebih tepat dan tiada sebarang masalah, tidak mustahil Malaysia akan menjadi salah satu negara pengeluar kereta perisai 8x8, sebaris dengan Singapura melalui Terrex 8x8 dan Indonesia dengan Anoa 6x6.

Bagaimanapun, teknologi AV-8 seharusnya kehadapan dengan pelbagai opsyen modular dan boleh dikemaskini dan ditingkat upaya sejajar dengan perkembangan teknologi semasa.

Spesifikasi dipetik daripada Wiki.
Specifications
Weight 16,000 to 24,500 kg
Length 6.1 (4×4), 6.6 (6×6), 8 m (8×8)
Width 2.7 m
Height 2.17 m
Crew 6 (4×4), 10 (6×6), 14 (8×8)
Armor Baseline 7.62mm AP all-around up to STANAG-4569 Level 4
Primary
armament 25 mm M242 Bushmaster
Secondary
armament 7.62 mm coaxial machine gun
Engine Deutz or Caterpillar Diesel
300-450 hp (4×4), 500-600 hp (6×6 and 8×8)
Power/weight 20.4 to 24.5 hp/ton
Suspension semi-automatic computer controlled pneumatic suspension
Operational
range 1000 km (621 miles)
Speed 100 km/h (62mph)

Isnin, 6 Julai 2009

Mencari pengganti Condor dan Sibmas, pilihan buatan OIC?



Al-Fahd, kenderaan perisai beroda buatan Arab Saudi. Foto Military-Today.com



Kenderaan perisai beroda buatan Indonesia Panser Anoa APS. Foto Alutsista.com


Keperluan penggantian kenderaan perisai TD iaitu Condor dan Sibmas merupakan antara keperluan modenisasi TD yang akan dilaksanakan sebelum 2o20. TD sendiri telah mula menubuhkan pasukan projek yang ditugaskan mengenalpasti jenis dan fungsi yang bakal dimainkan oleh aset terbaru TD jika dibeli kelak. Antara spesifikasi yang dikenalpasti berdasarkan kepada laporan majalah pertahanan tempatan seperti Perajurit dan Tempur adalah TD memerlukan kenderaan 6x6 dan 8x8, bukan lagi versi 4x4 sebagaimana Condor.

Kenapa 6x6 dan 8x8? Kajian mendapati bahawa kenderaan versi ini lebih stabil dan memiliki daya mobiliti yang lebih baik berbanding 4x4. Selain itu, saiznya juga lebih sesuai bagi membawa bebanan tempur dan boleh dipadankan dengan pelbagai sistem senjata yang lebih berkuasa tinggi. Keperluan tempur zaman moden juga memerlukan kelengkapan dalaman setiap kenderaan dipasang dengan sistem penapisan biologi, nuklear dan kimia (NBC), sistem komunikasi terkini, sistem penyaman udara dan enjin berkuasa tinggi dan boleh diharapkan (mudah diselenggara). Sistem armor kenderaan ini mampu menahan tembakan mesingan sehingga 12.7mm atau 7.62mm dan serpihan tembakan meriam. Selain itu, antara keperluan kenderaan perisai masa kini juga adalah boleh bertahan daripada serangan bom tepi jalan atau IED dan periuk api.

Jika dilihat pada jumlah Condor sekitar 450 buah, dan Sibmas dengan jumlah 150 buah, bermakna jika proses penggantian, kosnya pasti amat tinggi. Maka, TD berkemungkinan akan meletakkan jumlah yang diperlukan mungkin sekitar 200 buah sahaja. Ini pun satu jumlah yang boleh dianggap paling realistik, sebagaimana pembelian 211 buah Adnan AIFV pelbagai variasi bagi keperluan Unit Mekanis TD.

Persoalan utama adalah peranan yang dimainkan oleh kenderaan perisai beroda ini sendiri? TD telah mula menggunakan MIFV dan Adnan yang merupakan kenderaan perisai berunut. Sistem ini memiliki beberapa kelebihan antaranya boleh digandingkan dengan aset armor TD iaitu Pendekar kerana kelebihan tahap mobiliti yang dimiliki menggunakan runut.


Fungsi AIFV beroda dalam TD
Ini antara fungsi yang diaplikasikan oleh AIFV beroda TD, bagaimanapun, ada pelbagai fungsi boleh dimainkan sesuai dengan keperluan operasi semasa.

1. Kenderaan pengangkut untuk anggota mekanis TD
2. Tugasan tinjauan medan
3. Pasukan tembakan sokongan
4. Pasukan perlindungan sisi pertempuran
5. Kawalan konvoi
6. Misi pengaman

Antara calon-calon yang ada di pasaran untuk program penggantian adalah seperti berikut :

1. FNSS Pars
2. Mowag Piranha IIIC
3. Fiat-Iveco Puma
4. Steyr Pandur I/II
5. Patria AMV
6. BTR-80/90
7. Nexter VBCI
8. KMW Boxer MRAV
9. Fiat-Iveco Centauro VBC

Bagaimanapun, masa kini TD juga mempunyai pilihan untuk meneroka produk buatan negara Islam sendiri yang juga turut mengeluarkan AIFV beroda. Antara yang di pasaran :-

Al Fahd

Dibangunkan oleh Arab Saudi dan Pengawal Negara Arab Saudi memesan 100 buah AIFV ini untuk kegunaan mereka.

Data spesifikasi


Berat Tanpa Muatan : 16.3 tan.

Enjin : Deutz V10 Diesel

Kuasa enjin : 400 kuasa kuda

Had laju maksimum : 90km/h

Jarak maksimum : 600 km

Varian : AFRV dan APC

Al-Fahd boleh bergerak dalam kelajuan sehingga 90km sejam pada jarak sehingga 600km. Manakala, mampu melintasi curaman sehingga 80 peratus atau curaman sisi 55 peratus. Sistem NBC dan hawa dingin adalah standard, ada opsyen amfibia dan sistem pemadaman api manual, tetapi opsyen automatik boleh dipasang jika dikehendaki. Armor kenderaan ini adalah besi aloi pelbagai lapisan dan diperkuatkan dengan pelbagai tahap material Kevlar bagi memastikan perlindungan tambahan kepada anggota di dalamanya. Ini membolehkan Al-Fahd menahan serangan hadapan sehingga serangan kaliber 14mm dari jarak 300 meter, 7.62mm dari jarak 25 meter. Sistem suspensi yang menggunakan gas dan hidraulik memberikan perjalanan yang selesa kepada penggunanya.

Pindad Panser Anoa

Data spesifikasi

Berat Tanpa Muatan : 11 tan

Enjin : Renault MIDR 062045 inline 6 cylinder turbo-charged diesel

Kuasa enjin : 320 kuasa kuda

Had laju maksimum : 90km/h

Jarak maksimum : 600 km

TNI-AD baru menerima 40 unit Panser Anoa untuk kegunaan mereka. Reka bentuk Panser Anoa menyerupai VAB buatan Perancis. Armor kenderaan ini dikatakan mengikut standard Stanag 4569 Level 3 bermakna mampu menahan serangan senjata kaliber 7.62mm penembus armor. Sistem suspensinya pula suspensi bebas palang torsion. Bangladesh dan Nepal berminat mendapatkan Panser Anoa untuk kegunaan mereka. Tetapi PT Pindad dikatakan ingin fokus memenuhi keperluan TNI-AD sebelum meneroka pasaran luar secara serius.

Sekiranya TD berminat meneroka peluang menggunakan sistem kenderaan perisai negara-negara Islam ini, wujud peluang untuk Malaysia memperolehi faedah jangka panjang. Kerjasama pemindahan teknologi atau pengeluaran bersama adalah satu kemungkinan. Malaysia memiliki industri automatif yang dianggap maju dan keupayaan Proton menghasilkan enjinnya sendiri membuktikan Malaysia mampu meneroka bidang pengeluaran enjin kapasiti tinggi untuk kegunaan kenderaan-kenderaan ini.

Memandangkan kedua-dua kenderaan ini menggunakan enjin daripada negara Eropah, masih wujud kekangan jika ada sebarang sekatan dilaksanakan ke atas mana-mana negara Islam. Tetapi jika Malaysia menawarkan kepakaran dan menghasilkan enjin untuk platform-platform tersebut, pastinya faedah bersama dapat dinikmati.

Selain itu, sistem elektronik seperti BMS juga boleh dibangunkan secara bersama dalam usaha memantapkan industri pertahanan negara-negara Islam, selain Arab Saudi dan Indonesia, kerjasama ini juga boleh dibuat dengan Turki dan Pakistan. Melalui satu konsortium yang ditubuhkan antara negara-negara ini, tidak mustahil, produk yang dibangunkan boleh berdaya saing dengan produk-produk Barat sendiri.

Jika ini dapat direalisasikan bukan sahaja APC, malahan kereta kebal, meriam, peluru berpandu dan sebagainya akan dapat dibangunkan secara komersial, Malaysia pula akan mendapat faedah yang besar di mana peranan sebagai pemasaran dan sebagainya boleh diambil melihat kepada hubungan baik Malaysia dengan semua pihak.