6 Mei 2012, penulis menerima jemputan daripada wakil Perajurit, Saudara N.S Shah, Editor Associate Projek Khas Perajurit untuk mewakili penerbitan ini atas kapasiti penulis tamu ke program TD Bersama Media di Kem Perdana Kem Sungai Besi. Program tahunan ini adalah salah satu usaha Tentera Darat (TD) dan Kementerian Pertahanan untuk memberi pendedahan kepada media berkaitan aspek ketenteraan khususnya tentang TD.
Program ini bermula seawal 7.00 pagi melibatkan program utama iaitu pertandingan menembak antara pengamal media selain beberapa acara sampingan lain. Boleh dikatakan hampir kesemua media utama perdana telah dijemput termasuk wakil majalah pertahanan tempatan iaitu Perajurit, wakil Jane's Defence dan Tempur. Kali ini, TD hanya fokuskan kepada raifal Steyr AUG untuk kegunaan pertandingan berbeza semasa penulis dijemput pada program yang sama, kiranya lebih 5 tahun lalu di mana, pengamal media boleh memilih sama ada raifal M16 atau Steyr.
Kali ini, penulis bernasib baik kerana senjata yang digunakan iaitu Steyr AUG tidak mengalami sebarang `stoppages' iaitu tersekat. Ada beberapa rakan penulis yang mengalami keadaan ini dan agak mengecewakan kerana ini sekaligus mengganggu konsentrasi tembakan. Selaku wakil media sebagai penembak individu, walaupun berjaya membuat tembakan ke arah sasaran, tetapi tidak layak untuk mendapat tempat kesepuluh terbaik keseluruhan. Manakala, tim penembak Perajurit dalam kategori jatuhan piring, masih tidak dapat buang badi lama, di mana tewas dalam pusingan kedua. Pasukan Berita Harian mengungguli pertandingan kali ini, dan tempat kedua pula oleh penembak daripada Jane's yang diketuai oleh Saudara Dzirhan.
Penulis sedang membuat tembakan menggunakan Steyr AUG Gambar ehsan Saudara N.S Shah |
Penganjuran Program
Rejimen Artileri DiRaja (RAD) telah diberi tanggungjawab untuk mengendalikan program kali ini. Mereka yang berpangkalan di Gemas, telah datang ratusan kilometer untuk memastikan segala keperluan program ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin. Selain itu Markas TD, khususnya Perhubungan Awam dan sel-sel sokongan turut terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini. Kali ini, penganjuran program ini mendapat tajaan syarikat korporat seperti Maxis, Sapura, wakil Glock Malaysia Teguh Budimas dan aiskrim WAFI. Melalui pendekatan ini, sekurangnya kos penganjuran program ini dapat dikurangkan dan menjimatkan perbelanjaan. Paling dipuji, makanan cukup mewah, daripada pagi sampai ke petang, pelbagai juadah disediakan. Memang memuaskan!
Program Sampingan
Program utama adalah menembak, selain itu ada beberapa acara sampingan diadakan seperti pertandingan `Bullet Challenge', masukkan peluru dalam kelongsong, pakai kasut, pasang uniform dan `combat camo dressing'. Pasangan daripada Perajurit iaitu Saudara Zaharudin dan N.S Shah memenangi acara `combat demo dressing', hadiah berupa benet daripada jenama Glock. Selain itu, terdapat juga pertandingan karaoeke dan pertandingan menembak pistol VIP. Saudara N.S Shah juga antara yang bertuah kerana mendapat cabutan bertuah IPad 2, memang bertepatan lagi hadiah tersebut buat beliau.
VIP
Menteri Pertahanan,YB Dato' Seri Dr. Zahid Hamidi telah datang sekitar jam 3.00 petang untuk merasmikan dan menyempurnakan majlis tersebut. Beliau dengan gaya ranggi, menaiki motor Harley Davidson berceloreng, dikawal ketat oleh tim kawalan rapat yang dilengkapi dengan motor Ducati dan beberapa kenderaan lain. Dalam ucapan beliau, pada sambutan TD ke 80 pada 2013, lebih ramai akan dijemput termasuk wakil media pembangkang bagi memberikan mereka kefahaman yang lebih berkaitan isu pertahanan.
YB Menteri Pertahanan diberi taklimat oleh pegawai TD |
Tim Penembak Perajurit |
Peningkatan Program
Berdasarkan pemerhatian penulis, TD boleh menambaik baik program ini tanpa perlu berbelanja besar dengan melaksanakan beberapa pendekatan :-
- Mengedarkan satu `handbook' berkaitan organisasi TD dan glosari ketenteraan dalam bahasa Melayu. Jika ada peruntukan, boleh juga dimasukkan maklumat bergambar aset utama milik TD untuk rujukan pengamal media. Ini bakal mengurangkan kesilapan seperti keliru antara kenderaan pengangkut berperisai dengan kereta kebal.
- Pertandingan menembak digantikan dengan acara ujian senjata infantri TD. TD boleh beri penjelasan kelas-kelas senjata seperti raifal tempur, mesingan am dan pistol, fungsi dan apa peranan sistem persenjataan ini kepada seorang anggota tentera. Ujian tembakan, di mana setiap wakil boleh menembak sama ada raifal, mesingan dan pistol dalam kadar terhad, satu atau dua butir untuk merasakan perbezaan antara senjata-senjata ini.
- TD juga boleh membuat persembahan ringkas tentang sejarah TD seperti Ops Gubir , Ops Bakara Market dalam paparan keperwiraan anggota TD melaksanakan tanggungjawab demi tanah air tercinta.
Melalui pendekatan ini, impak lebih berbeza dan akan beri kesan kerana pihak media dapat diberikan satu suntikan patriotisme secara tidak langsung. Ini melihat kepada kepelbagaian pihak media yang datang seperti Nanyang Siang Pau, Sin Chew dan China Press. Cuma baru saya perasan tiada wakil daripada Malaysia Nanban atau Tamil Nesan? Adakah mereka tidak dapat datang atau tidak disenaraikan, itu sesuatu yang hanya pihak TD boleh sahkan.
Tentera dan Rakyat Berpisah Tiada |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan