Ahad, 23 Oktober 2011

LIMA 2011-Apakah aset bakal diperolehi ATM?

Menjelang LIMA 2011, ada beberapa kontrak besar lazimnya akan diumumkan oleh kerajaan Malaysia dalam memastikan bahawa penyertaan syarikat-syarikat dalam LIMA 2011 masih menyengat. Bagaimanapun, tidak dinafikan, bahawa kekangan kewangan menyebabkan kerajaan Malaysia tidak mampu untuk melaksanakan program perolehan berdasarkan perancangan asal. Bagaimanapun, ini tidak bermakna tiada penambahan aset, cuma penangguhan terpaksa dilakukan bagi memastikan peruntukan sedia ada mencukupi.

Skuadron MRCA TUDM
Antara perkembangan menarik adalah hasrat TUDM untuk mendapatkan satu skuadron MRCA bagi menyokong keperluan operasi TUDM buat masa ini. Beberapa calon telah disenaraikan iaitu Eurofighter Typhoon, Rafale, Super Hornet dan Gripen. Perkembangan terbaru dilaporkan hanya Typhoon dan Super Hornet  telah disenarai pendek (walaupun tiada pengumuman rasmi daripada TUDM), bermakna ada kemungkinan calon yang berjaya bakal diumumkan semasa LIMA 2011. Pertimbangan TUDM untuk tidak mengambil kira sistem pesawat Russia, berkemungkinan isu perkhidmatan sokongan jualan masih belum memuaskan. Sehingga kini, Skuadron Su-30 MKM telah mula beroperasi dan latihan yang disertai memperlihatkan pesawat ini menggugurkan `dumb bom' dan roket tanpa panduan. Bagaimanapun, adakah TUDM sengaja menyimpan kuku atau Su-30 MKM ada masalah dengan integrasi sistem senjata berpandu dengan sistem panduannya adalah tidak dapat dipastikan sehingga kini. Adalah diharapkan pada masa hadapan, TUDM dapat menunjukkan kepada rakyat selaku pembayar cukai kemampuan pesawat-pesawat tempur ini melancarkan sistem senjatanya sebagaimana yang ditugaskan. Ini akan meyakinkan rakyat bahawa TUDM ada kemampuan dengan aset-asetnya.

Pesawat Typhoon melancarkan peluru berpandu anti pesawat ASRAAM - Foto Milavia.net
Super Hornet dengan sistem persenjataan yang boleh dibawa - foto FAS.org


SGPV
Bagi TLDM pula, LIMA 2011 adalah platform penentu sama ada platform sistem SGPV yang diumumkan sebelum ini akan diperkenalkan kepada umum. Berdasarkan maklumat industri, sistem Gowind, Sigma dan Meko antara yang dipertimbangkan. Ada sumber menyatakan Gowind telah dipilih dan sekaligus menjadikan Perancis rakan pertahanan strategik baru negara kerana perolehan sistem kapal selam Scorpene dan helikopter EC-725 daripada negara yang sama.

Adalah terlalu awal untuk menjangkakan tentang mana-mana platform yang bakal dipilih. Pada asasnya, Perancis bukan sebuah negara yang agak konsisten dari segi polisi luarnya. Pembelian Scorpene diwarnai dengan pelbagai isu dan kesannya menyebabkan rakyat agak pesimis dengan keupayaan sistem ini. Jerman selaku pengeluar platform Meko dilihat lebih stabil. Dikatakan juga, jika Gowind dipilih sistem persenjataan pastinya yang dikeluarkan Perancis seperti sistem peluru berpandu Exocet MM40 Block III dan lain-lain.

Ada sumber mengatakan TLDM agak selesa dengan platform Sigma, ini berkemungkinan kerana platform ini boleh dianggap `proven design' berbanding platform Meko yang mana TLDM ada pengalaman yang menyebabkan platform ini tidak lagi menjadi pilihan utama (antaranya isu `funnel' yang boleh menyebabkan risiko kerosakan enjin).
Platform Sigma- foto Meretmarine-kredit DSNS

Antara konfigurasi Gowind dalam bentuk SGPV-foto Defense Industry Daily


Perkara utama, LIMA 2011 pasti bawa kejutan buat pemerhati pertahanan, mungkin bakal ada pengumuman diluar jangkaan atau tiada langsung. Tetapi kerajaan tahu, tanpa perolehan utama, untuk menarik untuk pengeluar asing mempromosikan sistem senjata mereka di LIMA 2011, pada LIMA 2013, adalah sesuatu yang sukar.Hanya mengharapkan penyertaan syarikat tempatan yang masih terhad dari segi produk dan sebagainya bukan satu opsyen yang dikehendaki. Cuma diharapkan limbungan tempatan seperti NGV Tech dapat pamerkan model MPSS untuk TLDM, antara keperluan mendesak TLDM buat masa ini. Kita tunggu dan lihat.