Selasa, 29 Mei 2012

Aset Pertahanan Pantai, boleh dijadikan strategi penafian akses ATM?

Malaysia merupakan sebuah negara yang cukup strategik. Ini disebabkan kepentingan Selat Melaka dan Laut China Selatan yang merupakan laluan utama perdagangan dunia. Melihat kepada kepentingan ini, natijahnya, pertahanan jalinan komunikasi laut ini amat kritikal dalam perancangan pertahanan negara. Jika melihat kepada perkembangan masa kini, peningkatan dua kuasa utama serantau, India dan China, memperlihatkan bahawa mereka juga mengintai dan memerhati sama  ada kekuatan militer mereka mampu menguasai jalan perdagangan ini jika perlu.

Maka, peranan TLDM dan TUDM sebagai pertahanan hadapan negara dalam menangani sebarang ancaman luaran yang mampu mencerobohi negara jika Selat Melaka ini mampu mereka kuasai. Cabaran utama, aset sedia TLDM adalah amat terhad, dengan kekuatan serangan permukaan 2 buah kapal kelas frigat, Kelas Lekiu, dua buah kapal frigat ringan Kelas Lekir, 4 buah korvet Kelas Laksamana, dan  aset-aset lain, keupayaan TLDM melaksanakan stategi penafian, adalah sesuatu yang amat besar cabarannya.

TUDM, dengan pemilikan pesawat F/A 18D, memiliki keupayaan anti kapal yang agak baik dirantau ini dengan sistem Harpoon. Bagaimanapun, umum sedia maklum bahawa jumlahnya amat terhad. Ini memperlihatkan bahawa ATM harus ada satu lagi lapisan pertahanan lain yang mampu membuatkan mana-mana musuh berfikir tiga kali sebelum mendekati perairan negara.

Sistem Pertahanan Pantai - versi peluru berpandu
Pembalikan Kejuruteraan  MM38?
Terdapat beberapa sistem pertahanan pantai yang dibangunkan oleh beberapa syarikat pengeluar. Paling utama adalah sistem peluru berpandu anti kapal yang dilancarkan menggunakan trak. Sistem sebegini memang banyak di pasaran dengan menggunakan sistem peluru berpandu anti kapal barat masa kini seperti Harpoon, Exocet, RBS atau sistem peluru berpandu anti kapal buatan Russia dan China seperti Club K atau Silkworm.

Kelebihan sistem sebegini adalah berdasarkan ketepatan dan keupayaan sistem ini menjejak dan mengesan sasaran. Bagaimanapun, kos tinggi harga sebuah peluru berpandu yang boleh cecah jutaan ringgit serta sistem sokongan yang agak kompleks akan menyukarkan keputusan pembelian. Kemampuan kewangan yang terhad, akan menyebabkan sistem ini dibeli pada jumlah yang tidak beri sebarang kesan signifikan terhadap kemampuan serangan ATM.

TLDM bersama syarikat tempatan dahulunya dikatakan memiliki keupayaan menyelenggara sistem peluru berpandu Exocet MM-38 yang dipasang pada bot-bot serang laju peluru berpandu (Fast Attack Craft-Missile). Jika keupayaan teknologi peluru berpandu ini difokus dan ditingkatkan, adalah tidak mustahil TLDM mampu memiliki teknologi peluru berpandu anti kapal ini dengan kepakaran tempatan, selain mendapatkan hak perlesenan eksklusif daripada pengeluar, versi MM-38 ini akan melonjak kepakaran untuk Malaysia membina sistem panduan dan sebagainya.  Pengalaman Argentina menggunakan peluru berpandu MM-38 yang ditanggalkan daripada kapal perangnya dan dilancarkan kepada HMS Glamorgan menyebabkan kerosakan semasa perang Falkland menunjukkan kemampuan sistem ini.

Jika TLDM memiliki stok MM-38 sekitar 20-30 buah, sekurangnya dapat melengkapkan sehingga 3 bateri pelancar peluru berpandu pertahanan pantai dengan keupayaan tembakan sehingga jarak 70 km. Cukup untuk menafikan Selat Melaka daripada pergerakan kapal-kapal musuh. Ini baru permulaan, dengan pengalaman pengoperasian dan doktrin pertempuran, unit-unit boleh menggunakan sistem peluru berpandu baru versi yang lebih baik dengan sistem panduan terkini dengan jarak yang lebih jauh.

Sistem Exocet MM-38 Argentina pelancaran darat semasa konflik Falkland-ehsan Wikipedia


Sistem Pertahanan Pantai-versi roket


Rejimen Roket TD yang dilengkapi dengan sistem pelancar roket berganda atau MRL Astross II adalah satu sistem yang cukup digeruni malah dianggap strategik dalam konteks tertentu. Menggunakan roket  SS-80, Rejimen Roket TD mampu menembak sehingga jarak 90km, satu jarak yang cukup untuk menutup laluan Selat Melaka. Bagaimanapun, serangan roket tidak setepat serangan peluru berpandu, walaupun jumlah roket lebih tinggi dan  menggunakan sistem penyerak alat letup atau sub-munition, membolehkan jarak tembakan lebih luas, tetapi kesan kerosakan kepada kapal perang musuh mungkin membolehkan kapal-kapal ini masih beroperasi. Buat masa ini, Malaysia masih mengimport peluru roket daripada Brazil, tidak kelihatan sebarang perancangan untuk Malaysia membuat sendiri peluru roket buat masa ini. Komposisi satu bateri pelancar Astross II adalah seperti berikut :-

6 x unit AV-LMU  (pelancar roket)
6 x AV-RMD (kenderaan pengisian semula roket)
1 x AV-UCF (kenderaan unit kawalan tembakan)
1 x AV-VCC (kenderaan pemerintah dan kawalan tembakan bersama dua `mobile workshop' biasanya diletak di ibu pejabat battalion.

Persiapan untuk tembakan, bermula dengan berhenti dan arahan tembakan dijangka sekitar 10 sehingga 15 minit (ini hanya anggaran semata-mata, tiada rujukan khusus berkaitan masa yang diambil untuk persediaan tembakan). Masa kini, dengan sistem pemintasan artileri yang cukup canggih, mana-mana sistem yang terdedah lebih daripada 10-15 minit boleh dipintas dan dimusnahkan oleh musuh yang memiliki keupayaan pemintasan tembakan dan sistem serangan yang canggih.

Sistem pelancar roket AV-LMU Tentera Darat  dengan pelancar 4 tiub untuk peluru roket SS-80 atau SS-60. Foto CSS2008


Sistem Pertahanan Pantai-versi artileri


Terdapat juga sistem pertahanan pantai menggunakan meriam. Semasa perang dunia kedua, sistem meriam statik ini digunakan dengan pelbagai kaliber, seperti meriam pertahanan pantai Singapura semasa perang dunia kedua dengan meriam bersaiz kaliber 381mm. Bagaimanapun, masa kini sistem pertahanan pantai dengan meriam statik tidak lagi bersesuaian dengan peperangan masa kini.

Buat masa ini, Russia ada membangunkan sistem meriam khusus untuk pertahanan pantai iaitu A-222 Bereg. Meriam 130mm ini adalah versi dipasang atas trak MAZ-543 8x8, dengan jarak tembakan sehingga 22km, sistem ini hanya digunakan di Russia. Sistem ini dikatakan mampu menyerang sasaran kapal permukaan atau bot laju dalam jangka masa 1 sehingga 2 minit. Bagaimanapun, dengan jarak 22km, ia agak terhad dan tidak memberikan kuasa tembakan pada jarak dikehendaki. Selat Melaka sendiri, sekurangnya jarak terdekat sekitar 40-45km. Manakala, dengan kaliber 130mm, sistem sebegini bukan standard yang dimiliki oleh TD.

Sistem Bereg A222 Coastal Defence Artillery - foto ehsan Military-Today.com


Rejimen Artileri Diraja (RAD) memiliki sejumlah meriam tunda 155mm iaitu G-5. Pada asasnya meriam G-5 adalah yang terbaik dalam kelasnya. Kuasa tembakan G-5 mampu cecah 40km atau sehingga 56km jika menggunakan projektil khusus. Tetapi G-5 tidak memiliki perlindungan dan mobiliti yang dikehendaki dalam memberikan tekanan kepada musuh dalam meneka lokasi dan kedudukan bateri pertahanan pantai TD.

Maka, TD mungkin perlu serius fokus kepada perolehan meriam bergerak sendiri atau SPG singkatan kepada Self Propelled Gun.  Sistem sebegini akan menyokong pelbagai peranan artileri sendiri dalam memberikan kuasa tembakan kepada Rejimen Armor dan Mekanis serta boleh digunakan secara berkesan untuk doktrin pertahanan pantai.

Antara sistem yang harus diberi perhatian adalah SPG Archer. Sistem meriam 155mm ini menggunakan platform trak Volvo sebagai kenderaan pembawa meriam dengan sistem meriam 155mm yang dilengkapi dengan sistem tembakan automatik.

Paling menarik sistem meriam ini amat jitu dari segi ketepatan tembakan dan memiliki keupayaan tembakan dikenali dengan nama MRSI, singkatan kepada Multiple Round Simultanous Impact. Keupayaan sebegini membolehkan dua buah sistem Archer, membuat 3 das tembakan tiap satu, membolehkan 6 peluru jatuh serentak atas sasaran pada masa yang sama! Selain itu, sistem ini amat pantas dalam masa 30 saat, mampu buat tembakan sehingga 3 das tembakan dalam masa 15 saat! Kemudiannya bergerak semula ke lokasi tembakan baru dalam jangka masa tidak sampai 30 saat. Isian semula peluru kurang daripada 8 minit dan boleh dilaksanakan di lokasi selamat dan terlindung. Kru meriam menembak dalam kabin armor dan tidak perlu mendedahkan diri untuk memasukkan peluru dan caj tembakan.

Setiap sistem meriam membawa 21 peluru sedia ditembak dan 20 peluru untuk isian semula. Platform Volvo berdasarkan penarik komersial articulated dengan keupayaan merentas pelbagai bentuk muka bumi, menjadikan sistem ini mudah dioperasikan di mana-mana kawasan pantai. Sistem ini boleh menembak peluru Excalibur pada jarak maksimum 60km.

Kelebihan utama sistem meriam ini, pertama, kuasa dan, kedua adalah kuantiti tembakan. Peluru meriam 155mm, lebih murah berbanding sistem peluru berpandu dan pastinya stok kuantiti peluru mencecah ratusan atau ribuan. Malaysia melalui SME Ordnance menghasilkan peluru meriam 155mm, maka tiada masalah bekalan peluru. Stride juga ada bangunkan peluru meriam berpandu Taming Sari 155mm, ini boleh digandingkan dengan sistem Archer dengan sedikit modifikasi bagi sasaran anti kapal. Jika RAD membeli sekitar 24 buah meriam ini, satu doktrin dapat dirangka untuk membolehkan hanya dua meriam sahaja diperlukan untuk mengawal titik sempit sekitar Selat Melaka. Mungkin dalam dibentuk dalam saiz Skuadron Pertahanan Pantai RAD. Empat skuadron dibentuk dengan kawasan dibahagikan di Lumut, Klang, Port Dickson dan Johor. Melalui empat skuadron PPRAD ini, 8 buah sistem Archer SPG ini diatur gerak sepanjang masa dan diberi latihan khusus dalam membolehkan unit-unit ini membuat bidikan dan tembakan yang tepat. Baki 16 meriam lagi, boleh dibahagikan sehingga 3 bateri untuk menyokong Rejimen Armor dan Mekanis dalam operasi mereka.

Dua buah sistem Archer SPG memburu musuh-foto ehsan ArmyRecognition.com





4 ulasan:

  1. Nampaknya , fokus blog ini hanya berkisar berkenaan Selat Melaka. Bagaimana pula dengang LCS dan Laut Sulu? Tiada penekannan diberikan disini.

    BalasPadam
  2. Selat Melaka adalah laluan utama perdagangan dunia, strategi penafian akses ini memfokuskan titik pertahanan di sepanjang Selat Melaka semata-mata. Bagi Laut China Selatan dan persempadan maritim lain-lain, strategi sebegini kurang sesuai diadaptasikan. Kapal serangan permukaan, kapal selam dan pesawat udara adalah sistem yang paling sesuai untuk perairan yang dinyatakan, untuk Selat Melaka, akibat laluan yang sempit, ada kemungkinan strategi sebegini ada peluang untuk berjaya.

    BalasPadam
  3. Dengan perkembangan terbaru ; China menuntut LCS sebagai tuan empunya. Laluan LCS juga amat penting bagi laluan dagang antara ASEAN dan Jepun mahupun Taiwan bahkan ianya juga dikatakan mengandungi simpanan hydro karbon yang besar. Cuba saudara rungkaikan pula pertahanan LCS dengan lebih mendalam.

    BalasPadam
  4. Terima kasih, memang LCS adalah salah satu kawalan maritim yang juga kritikal kepada Malaysia. Jika ada idea menarik mungkin saya boleh kongsi di blog ini.

    BalasPadam