Sabtu, 13 Julai 2013

Kenal pasti ancaman terhadap kedaulatan negara.

Artikel ini ditulis oleh Danny Liew dan diterbitkan di majalah Perajurit. Terbitan semula di blog dengan izin beliau. Terima kasih.


Peristiwa pencerobohan oleh pengganas Sulu dari kalangan Royal Sulu Forces (RSF) telah mengejutkan rakyat Malaysia daripada buaian mimpi empuk yang dinikmati semenjak hujung tahun 1990, apabila elemen terakhir daripada Partai Komunis Kalimantan Utara (PARAKU) meletakkan senjata mereka . Akibat daripada buaian mimpi empuk ini, ramai rakyat Malaysia sebelum kejadian pencerobohan di Lahad Datu ini langsung tidak mengambil peduli akan isu-isu pertahanan negara (Biarpun negara dikejutkan dengan kejadian mencuri senjata oleh kumpulan militan al Maunah pada tahun 2000 dan penculikan di pusat peranginan di Pulau Sipadan dan Ligitan pada tahun 2001, elemen ancaman daripada kedua-dua kumpulan tersebut dilihat dapat ditangani.).


Malahan, penulis sudah agak jenuh menjawab kritikan-kritikan yang dilemparkan setiap kali kerajaan mengumumkan pembelian aset pertahanan baru untuk kegunaan ATM dan agensi keselamatan yang lain. Penulis ini sering kali terpaksa menggunakan perumpamaan Melayu, sediakan payung sebelum hujan. Kali ini, hujan sudah turun dan kita bernasib baik sebab payung kita masih cukup baik untuk menghadapi hujan kali ini.

Ancaman Geopolitik terhadap Malaysia

Hari ini, ancaman ke atas Malaysia boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu ancaman dalaman dan ancaman luaran.

Ancaman dalaman yang dihadapi oleh Malaysia terdiri daripada gerakan fanatism politik, agama dan kaum. Antara contoh gerakan sedemikian yang pernah bergerak dalam Malaysia dan dikenalpasti adalah gerakan komunis (yang terdiri daripada PKM, PKM – Marxist Leninism, PKM – Revolutionary Force dan PARAKU), kumpulan militan al Maunah, kumpulan al-Arqam yang suatu ketika dahulu dipercayai telah menubuhkan satu unit bergelar Tentera Badar 300). Sesetengah ancaman ini masih wujud, tetapi dalam bentuk lain. Sekaligus memerlukan pantauan berterusan oleh pihak berkuasa. Tetapi fokus perbincangan hari ini bukanlah ancaman daripada kumpulan-kumpulan ini.

Ancaman Luar terhadap Kedaulatan Malaysia

Sebelum kita membincangkan ancaman-ancaman geopolitik yang dihadapi oleh Malaysia, elok dibincangkan kaedah yang digunakan oleh Malaysia untuk menghadapi ancaman-ancaman ini. Semenjak dari kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957 dan penubuhan Malaysia pada tahun 1963, Malaysia telah menggunakan kaedah pragmatik dalam usaha untuk mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman luar. Kaedah pragmatik yang dimaksudkan adalah penggunaan diplomasi yang diperkuatkan dengan keupayaan ketenteraan bagi menghadapi ancaman dari luar.


Diplomasi
Kaedah diplomasi yang digunakan oleh Malaysia adalah dengan menganggotai pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), Pertubuhan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan ASEAN. Antara 4 pertubuhan antarabangsa ini, yang paling menarik adalah NAM dan ASEAN.


Walaupun NAM secara prinsipalnya terdiri daripada negara-negara berkecuali, hakikatnya adalah pada awal penubuhannya, elemen pro-pakatan Warsaw telahpun menyelinap di kalangan negara-negara anggota NAM. Malahan, Indonesia ketika itu telah menggunakan NAM sebagai platform untuk menuduh Malaysia sebagai sebuah kaedah neo-kolonialism.


ASEAN pula asalnya daripada pergerakan MALPHILINDO yang bertujuan untuk mencari jalan tengah untuk mengelakkan perang antara Malaysia dengan kedua-dua Indonesia dan Filipina meletus. Walaupun MALPHILINDO gagal mencapai objektif utamanya, hasilnya adalah penubuhan ASEAN yang sehingga hari ini agak efektif dalam memastikan konflik bersenjata antara negara anggotanya tidak meletus sehingga menjadi peperangan terbuka.


Ketenteraan
Pada awal kemerdekaan negara, keupayaan pertahanan negara menghadapi ancaman luar amatlah kurang. Fokus pertahanan negara ketika itu adalah menangani ancaman dalaman, terutamanya daripada puak komunis. Oleh itu, kebanyakan perbelanjaan ketenteraan ketika itu ditumpukan terhadap memperkuatkan keupayaan ATM dalam perang menentang insurgensi, ataupun counter-insurgency (COIN) warfare (Hasil pengalaman 1948 – 1960, ATM dan PDRM diperakui sebagai pakar COIN terbaik di dunia. Pakar-pakar dari ATM dan PDRM telah dipinjamkan kepada AS dalam membantu Tentera AS menghasilkan doktrin COIN mereka sendiri. Malahan, elemen doktrin pusat peperangan hutan di Fort Benning, Georgia yang dioperasikan oleh oleh Special Operations Command US telah dihasilkan oleh warga GGK yang dipinjamkan ke Fort Benning. Penulis percaya, jika GGK ditubuhkan 10 tahun lebih awal ataupun Perang Vietnam berlaku 10 tahun lebih lambat, AS mungkin dapat memenangi Perang Vietnam.).


Memandangkan keupayaan konvensional ATM ketika itu tidak wujud, maka pertahanan negara daripada ancaman luar dibantu oleh Tentera British. Susun atur ini mungkin boleh berlanjutan sehingga ke hari ini, sekiranya bukan kerana gerakan anti-penjajahan pada tahun 1960-an di Britain yang memperlihatkan tentera British menarik balik tenteranya daripada Timur Jauh (Far East), yang merangkumi Malaysia.


Ancaman overt dan covert daripada kedua-dua Indonesia dan Filipina terhadap kedaulatan negara dari tahun 1963 sehingga 1966 ketika itu membuka mata kepimpinan ATM untuk memodenkan ATM bagi menghadapi ancaman perang konvensional. TNI dan AFP ketika itu sudahpun mempunyai keupayaan perang konvensional. TNI telah mengasah taringnya menentang Tentera Jepun, Tentera British dan Tentera Belanda. Manakala AFP pula merupakan angkatan tentera ketiga termoden di rantau Asia selepas Jepun dan China (Menariknya, keupayaan konvensional kedua-dua negara ini mula surut pada ketika keupayaan konvensional Malaysia meningkat naik.).


Maka dengan itu, apabila ancaman daripada gerakan pengganas komunis mula menyurut pada tahun awal tahun 1980-an, ATM mula melakukan pemodenen secara agresif. Tetapi memandangkan British mula mengundurkan kekuatan tenteranya dari Asia Tenggara pada tahun 1960-an, suatu perjanjian pertahanan bersama antara Malaysia, Singapura, Britain, Australia dan New Zealand telah dibuat bagi pertahanan bersama. Sehingga ke hari ini, perjanjian ketenteraan ini merupakan satu-satunya perjanjian ketenteraan yang disertai oleh Malaysia semenjak kemerdekaan dicapai.


Ancaman Geopolitik


Indonesia
Konsep negara serumpun seringkali digunakan apabila membincangkan konteks hubungan unik Malaysia – Indonesia. Majoriti rakyat kedua-dua negara terdiri daripada rumpun Melayu, terutamanya Austranesian. Tambahan pula, bahasa kedua –dua negara adalah hampir sama. Namun, penjajahan berterusan oleh dua kuasa asing dengan konsep pentadbiran yang berbeza telah menyebabkan dua negara serumpun ini tidak sehaluan dalam beberapa perkara.

Penjajahan wilayah Papua oleh Indonesia merupakan antara titik tolak hubungan diplomatik antara kedua-dua negara mula mengeruh. Tindakan menjajah wilayah Papua oleh Indonesia telah dikritik oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tunku Abdul Rahman. Kritikan Tunku itu tidak disenangi oleh Sokaerno yang menganggap kritikan tersebut sebagai mencampuri hal ehwal dalaman Indonesia oleh Sokaerno.

Sokaerno pula memiliki visi untuk menubuhkan sebuah negara yang merangkumi keseluruhan Nusantara dengan beliau sebagai presiden. Impian beliau adalah sebuah negara berteraskan kebudayaan Jawa yang mempunyai keupayaan untuk berdiri sama tinggi dengan kuasa besar dunia lain seperti Amerika Syarikat dan Rusia. Bagi menghalalkan visinya, beliau mewar-warkan konsep Indonesia Raya (Menariknya, konsep Indonesia Raya ini berasal daripada Tanah Melayu, berkisar kepada konsep Melayu Raya.). Untuk mencapai visi ini, Sokaerno sanggup menggunakan apa jua kaedah untuk mendapatkan wilayah-wilayah yang belum masuk ke dalam penguasaan Indonesia, sama ada secara rundingan ataupun kekerasan.

Rancangan penubuhan Malaysia yang dibuat oleh Tunku Abdul Rahman sekitar tahun 1961 tidak disukai Sokaerno kerana bukan sahaja akan muncul sebuah negara yang boleh mengancam pengaruhnya, penubuhan Malaysia akan menyukarkannya menawan wilayah-wilayah yang terlibat dengan kaedah ketenteraan. Bagi memusnahkan perancangan penubuhan Malaysia, maka Sokaerno melancarkan operasi ‘Ganyang Malaysia’.


Indonesia Hari Ini

Biarpun hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia pulih selepas Tragedi Gestapu pada tahun 1966, elemen anti-Malaysia di kalangan rakyat Indonesia masih lagi berleluasa. Ini terbukti dengan munculnya kumpulan vigilante Bendera yang mengumumkan bahawa mereka akan memburu rakyat Malaysia yang berada di Jakarta ketika hubungan Malaysia – Indonesia menjadi panas beberapa tahun dahulu akibat isu pertindihan hak milik ke atas kepulauan Ambalat.


Di kalangan kepimpinan politik Indonesia, majoriti politikus Indonesia boleh dianggap mempunyai hubungan agak baik dengan Malaysia. Namun begitu, terdapat segelintir pemimpin ini, termasuk di kalangan ABRI yang masih bersifat anti-Malaysia.


Dari segi ancaman ketenteraan, tahun lepas ABRI telah membuat pesanan pembelian aset pertahanan dalam bentuk kereta kebal utama (MBT) Leopard 2 dan sistem MLRS dalam bentuk ASTROSS II. Menariknya, kedua-dua aset ini dicadangkan untuk ditempatkan di bahagian selatan kepulauan Borneo yang dimiliki oleh Indonesia, iaitu Kalimantan. Kedua-dua pembelian ini tidak termasuk pembelian pesawat penggempur baru SU-30.


Secara tak langsung, ancaman overt daripada Indonesia bakal meningkat berkali ganda apabila kesemua aset ini diserahkan sekitar 4 tahun dari sekarang.


Jika diambil kira ancaman covert diambil kira, senario pertahanan menjadi kian menakutkan. Malaysia merupakan ‘rumah’ kepada hampir dua juta rakyat Indonesia yang berada di negara kita sebagai TKI (tenaga kerja Indonesia), sama ada secara halal ataupun haram. Sekiranya hubungan antara kedua-dua negara menjadi tegang sehingga ke peringkat pertelagahan bersenjata, bilangan dua juta orang ini yang boleh dijadikan sebagai elemen fifth column Indonesia di Malaysia.


Filipina

Pada kemuncaknya, AFP merupakan angkatan tentera ketiga terkuat di rantau ini selepas Jepun dan China. Pada sekitar hujung 60-an, AFP juga pernah terlibat dalam pertempuran dalam Perang Korea; bekas presiden Filipina Fidel Ramos ketika itu seorang pegawai tentera berpangkat Lt antara yang mendapat penganugerahan pingat keberanian dalam operasi menentang ancaman dari Korea Utara dan PLA.

Filipina sebagai pewaris kepada kesultanan Sulu, melihat bahawa pantai timur Sabah adalah wilayah sepatutnya dimiliki oleh Filipina. Tuntutan ini berdasarkan kepada pilihan perkataan yang digunakan dalam menterjemah perjanjian antara Overbeck and Dent dengan kesultanan Sulu pada tahun 1877.

Apabila pengumuman penubuhan Malaysia dibuat, Filipina telah memfailkan bantahan mereka melalui PBB. Akibatnya, tarikh 31 Ogos 1963 sebagai tarikh penubuhan Malaysia terpaksa dilupakan dan digantikan dengan tarikh 16 September 1963 adalah hasil bantahan bersama Indonesia dan Filipina agar keputusan Suruhanjaya Cobbold disiasat semula.

Apabila PBB memutuskan bahawa keputusan Suruhanjaya Cobbold adalah adil, maka barulah Malaysia dapat ditubuhkan. Namun, hasrat Filipina ke atas Sabah tidak berakhir setakat itu. Diktator Filipina, Ferdinand Marcos telah mengarahkan AFP untuk menubuhkan satu unit komando terdiri daripada pemuda Moro dilatih untuk menyelinap masuk ke Sabah bagi memulakan gerakan insurgensi bagi menawan Sabah.

Mengetahui bahawa dunia ketika itu tidak suka melihat tindakana sesebuah negara untuk menawan wilayah sebuah negara lain yang berdaulat, gerakan subversif oleh pemuda Islam Moro dilihat dapat memberi deniability cover. Gerakan subversif oleh pemuda Islam akan dilihat seperti suatu gerakan pemberontakan menentang ‘kekejaman’ Malaysia dan AFP akan campur tangan dalam bentuk ketenteraan bagi ‘memerdekakan’ wilayah tersebut untuk membantu ‘penduduk-penduduk’ yang ‘ditindas’.

Penindasan memang berlaku, apabila gaji dan elaun rekrut-rekrut ini tidak dibayar. Gaji dan elaun mereka telahpun disonglap oleh pegawai atasan ketika itu. Apabila gaji dan elaun tak dibayar, mereka mula melawan cakap jurulatih mereka. Hanya kerana untuk mengelakkan rancangan ini diketahui umum, seramai 11 sehingga 200 pemuda Moro dibunuh. Tragedi yang bergelar Tragedi Jabidah ini baru sahaja diakui oleh kerajaan Filipina sekarang.

Filipina Hari Ini

Keupayaan ketenteraan Filipina hari ini amatlah menyedihkan sekiranya dibandingkan dengan keupayaannya pada puncak kegemilangannya. Kehadiran Pengkalan Tentera AS Teluk Subic sehingga pertengahan 90-an berserta kegiatan rasuah dan pecah amanah berleluasa telah melemahkan keupayaan AFP.

Pada masa yang sama, AFP turut menghadapi ancaman dalaman dari hampir sepuluh kumpulan pemberontak berlainan; empat daripadanya berpusat di Selatan Filipina.

Disebabkan keunikan bahawa kebanyakan pergerakan subversif anti-kerajaan Filipina berpusat di Selatan Filipina, memungkinkan bahawa ancaman sebenar terhadap Malaysia untuk sepuluh hingga tiga puluh tahun akan datang akan muncul daripada gerakan subversif yang berpusat di Selatan Filipina.

Pada hari ini, ancaman yang sudah dikenalpasti adalah ancaman dari puak RSF yang terdiri rata-rata daripada kalangan kaum Tausug dan Bajau Sama. Dua kumpulan lain yang mungkin memberi ancaman kepada kedaulatan negara adalah kumpulan MNLF dan Abu Sayyaf.

Hubungan antara kumpulan MNLF dan RSF telahpun dikenalpasti. Ataupun lebih tepat, hubungan antara sebahagian daripada MNLF dengan RSF telah dikenalpasti. Ancaman terhadap Malaysia dari MNLF adalah kebanyakannya datang daripada kalangan penyokong kepada Nur Misuari, manakala penyokong kepada Muslim Sema, pengerusi MNLF hari ini tidak setuju dengan tindakan Jamallul Kiram III.

Sekiranya Muslim Sema ditewaskan dalam pilihanraya ataupun tempatnya digantikan oleh penyokong Nur Misuari, maka bahaya daripada MNLF akan meningkat.

Ancaman daripada Abu Sayyaf pula amat bergantung kepada hubungan mereka dengan kumpulan MILF. Sesetengah anggota Abu Sayyaf mempunyai pertalian persaudaraan dengan pucuk pimpinan MILF.


Memandangkan MILF bakal menerima faedah terbanyak keamanan di Wilayah Autonomi Muslim Mindanao ataupun Autonomous Region of Muslim Mindanao (ARMM), adalah tidak hairan sekiranya MILF akan menggunakan pengaruhnya untuk mengelakkan Abu Sayyaf mengganggu Malaysia.


Apabila membicarakan tentang Abu Sayyaf, ancaman daripada Selatan Filipina turut datang dalam bentuk penglibatan ekstrimis Islam yang ingin menubuhkan sebuah khalifah Islam berpusat di Selatan Filipina. Abu Sayyaf dikenalpasti mempunyai hubungan dengan gerakan pengganas antarabangsa, iaitu al Qaeda dan Jemaah Islamiyah.


Sekiranya Malaysia tidak bertindak berhati-hati dalam menangani masalah pencerobohan oleh pengganas Sulu, tidak hairan sekiranya kumpulan al Qaeda dan Jemaah Islamiyah akan mengambil peluang dalam kekecohan ini untuk menguatkan pengaruhnya.


Walaupun Malaysia pernah menghadapi ancaman daripada komunis yang beroperasi di luar sempadan negara (di sepanjang sempadan Malaysia – Thailand bagi PKM dan serpihannya dan di sepanjang sempadan Sarawak – Kalimantan bagi PARAKU), ancaman daripada Selatan Filipina adalah jauh berbeza.


Kawasan operasi musuh adalah di pulau-pulau dan mungkin juga di kawasan berpenduduk di selatan Filipina. Pada masa yang sama, kawasan operasi mereka pula berada di sebuah negara yang menganggap bahawa Malaysia secara tidak sah menduduki Sabah. Oleh itu, kemungkinan kerjasama seperti yang diperoleh dengan Thailand dan Indonesia amat sukar diperoleh. Apatah lagi terdapat elemen dalam kerajaan Filipina dan AFP yang menganggap bahawa pemberontakan Moro dari tahun 70-an sehingga ke hari ini dibiayai oleh Malaysia!


Walaupun kedudukan Malaysia tidak dipercayai sesetengah pihak dalam kerajaan Filipina dan AFP, Malaysia tetap terlibat dalam cuba membawa keamanan ke wilayah Selatan Filipina sebagai orang tengah bagi memastikan rundingan damai antara kerajaan Filipina dan puak pemberontak utama di Selatan Filipina, iaitu MILF. Melalui International Monitoring Team, kehadiran sepasukan kecil pegawai tentera daripada Malaysia dan beberapa buah negara lain telah pun mula membawa perubahan ke Selatan Filipina.


Rundingan damai ini kiranya masih di peringkat awal. Sekiranya Malaysia berjaya dalam eksperimentasi ini dalam membantu Selatan Filipina, Malaysia bakal mempunyai pelan rancangan yang boleh diadaptasikan di Selatan Thailand dan juga oleh negara-negara lain yang menghadapi cross-border non-state threat.


Walaupun AFP kini sudah lemah dan Sabah sudah 50 tahun dimiliki oleh Malaysia, tuntutan Filipina ke atas Sabah masih lagi tidak dilepaskan. Menariknya, sebarang percubaan Filipina untuk menuntut Sabah akan membantu China dalam tuntutannya ke atas Scarborough Shoal yang turut dituntut oleh Filipina.


Singapura


Jika hubungan Malaysia – Indonesia dianggap antara dua saudara yang sukar putus, hubungan Malaysia – Singapura adalah jauh lebih unik. Konsep negara serumpun tidak boleh digunapakai; komposisi rakyat kedua-dua negara adalah bersongsangan. Namun, kedua-dua negara diikat oleh sejarah pergabungan dan perpisahan dan boleh diibaratkan seperti sepasang kekasih yang telah bercerai, tetapi masih lagi tidak dapat melupakan masing-masing.


Semenjak Singapura merdeka daripada Malaysia pada tahun 1966, Singapura telah giat membangunkan sektor pertahanan mereka sehingga menjadi kuasa tentera paling mantap dan moden di Asia Tenggara. Dengan bantuan Israel, Singapura bukan sahaja memiliki angkatan tentera yang mantap, tetapi juga sebuah industri pertahanan yang mampu melengkapkan angkatan tenteranya dengan peralatan yang canggih.


Hubungan Malaysia – Singapura menjadi keruh seketika bermula semenjak Tun Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri Malaysia keempat. Mantan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew telah beberapa kali secara terbuka mencabar mana-mana jirannya untuk cuba menyerang Singapura. Walaupun secara tidak langsung, cabaran tersebut sebenarnya ditujukan kepada Malaysia, khususnya Tun Mahathir Mohamad.


Penubuhan 10 Briged Para juga turut secara tidak langsung mengeruhkan hubungan antara Malaysia dan Singapura. Apabila 10 Briged Para dilancarkan secara rasmi sebagai unit beroperasi penuh, 10 Briged Para melaksanakan senario serangan untuk menawan kembali Pulau Langkawi daripada sebuah kuasa asing. Menariknya, dikatakan saiz Pulau Langkawi tidak jauh berbeza daripada Singapura.


Keadaan ini diburukkan dengan terbitnya buku “Defending the Lion City” oleh Tim Huxley yang mewar-warkan senario melancarkan serangan awal ke atas Malaysia bagi mengekang ancaman Malaysia terhadap Singapura.


Menariknya, Singapura juga merupakan satu-satu sekutu Malaysia yang berupaya membantu Malaysia dalam peperangan hampir serta-merta sekiranya Malaysia diserang, dan sebaliknya. Kedua-dua negara merupakan peserta dalam FPDA yang disertai juga oleh Britain, Australia dan New Zealand.


Bertambah menarik sekiranya jika diambilkira senario geopolitik dan penglibatan dalam Global War on Terrorism yang digembelengkan oleh Amerika Syarikat telah pun menyebabkan angkatan tentera Britain dan Australia beroperasi hampir di tahap maksimum. Oleh itu, sekiranya Malaysia ataupun Singapura memohon bantuan ketenteraan melalui FPDA, hampir pasti bahawa Britain dan Australia sukar memberi bantuan ketenteraan. Malahan, New Zealand juga agak sukar membantu kerana berhadapan dengan krisis ekonomi.


Biarpun Singapura juga mempunyai sekutu lain, iaitu Israel. Hakikatnya, jarak antara Israel dengan Singapura terlalu jauh dan mungkin terlalu lambat untuk sampai membantu Singapura.


Singapura menyedari hakikat ini. Oleh itu, boleh disimpulkan bahawa Singapura akan cuba sedaya upaya untuk mengelakkan konflik bersenjata antara kedua-dua negara.


Bentuk muka bumi Singapura yang terhad kepada sebuah pulau menyebabkan Singapura tidak mempunyai kedalaman pertahanan. Sekiranya musuh yang menyerang berjaya menapakkan diri di Pulau Singapura dan gagal menyingkirkan musuh tersebut, Singapura hampir pasti akan terpaksa berundur ke dalam wilayah Malaysia. Dalam senario sedemikian, kemungkinan besar klausa pertahanan bersama dalam FPDA akan digunapakai.


Walaupun penulis cuba memberi suatu pandangan positif hubungan Malaysia – Singapura, Malaysia tidak boleh mengambil ringan akan siapa Singapura. Singapura tetap sebuah negara jiran yang memiliki angkatan tentera konvensional yang ampuh. Kemandirian Singapura sebagai sebuah negara adalah jauh lebih penting daripada hubungan yang sedia ada.


Suatu senario yang memungkinkan Singapura untuk mengambil tindakan menceroboh Malaysia adalah sekiranya kerajaan Malaysia menjadi goyah dan terdapat elemen yang cuba menyalahkan Singapura sebagai punca kelemahan kerajaan Malaysia serta bertindak mengganggu pelaburan Singapura dalam Malaysia.


Thailand


Thailand merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang tidak pernah dijajah oleh mana-mana kuasa dunia. Keupayaannya untuk mengelakkan diri daripada dijajah bukan disebabkan oleh kekuatan ketenteraan, tetapi kebijaksanaan para pemimpinnya dalam mengelakkan negara tersebut dijajah. Tetapi, pada masa yang sama menjadikan diri Thailand sebagai sebuah negara yang perlu ditangani dengan berhati-hati.


Pada peringkat awal Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu, Tentera Berikat telah menjangkakan bahawa Tentera Jepun bakal menyerang Tanah Melayu sama ada dari arah Singapura ataupun dari arah Pantai Timur. Oleh itu, Tentera Berikat telah meletakkan kekuatan tenteranya di Singapura.


Hakikatnya, Tentera Jepun telah mendarat di Songkhla, Pattani dan Kota Bharu. Tindakan Tentera Jepun tersebut bukanlah tidak terjangka, kerana Mejar Jeneral William Dobie telah membuat jangkaan tersebut dan telah merangka Operation Matador bagi menghadapi serangan Jepun.


Malangnya, Operation Matador tidak diterima oleh Kerajaan British dan kepimpinan Tentera British. Tujuh bulan sebelum Operation Matador direncanakan, Duta British ke Siam, Sir Josiah Cosby telah menandatangani pakatan anti-pencerobohan dengan Perdana Menteri Siam ketika itu, Luang Pibulsonggram. Jangkaan Kerajaan British ketika itu adalah Tentera Jepun perlu berhadapan dengan Tentera Siam terlebih dahulu sebelum sampai ke Tanah Melayu. Sekaligus, mempunyai masa yang cukup untuk menggerakkan ketumbukan Tentera Berikat menghadapi Tentera Jepun.


Selepas pendaratan Tentera Jepun di Siam dan selepas pertempuran sehari antara tentera Jepun dan Tentera Siam, Luang Pibulsonggram telah mengarahkan tenteranya berhenti berperang menentang Jepun dan sebaliknya membantu Tentera Jepun. Malahan, Kerajaan Siam di bawah Luang Pibulsonggram telah mengikat perjanjian ketenteraan dengan Jepun dan mengiystiharkan perang ke atas kuasa Berikat.


Pengiystiharan tersebut bukan sekadar pengisytiharan kosong sahaja kerana tentera dan polis Siam turut terlibat bertempur menentang Tentera Berikat dalam Operasi Krohcol. Tentera Berikat akhirnya terpaksa berundur dari bandar Betong apabila Tentera Jepun dengan kereta kebal tiba membantu polis Siam.


Thailand Hari Ini


Thailand hari ini adalah berbeza daripada Siam terdahulu. Namun, pengajaran yang diperoleh semasa Perang Dunia Kedua tidak boleh dilupakan.


Semasa kemuncak insurgensi di Semenanjung Malaysia, Thailand telah menjadi markas operasi medan bagi gerila PKM dan serpihan-serpihannya. Memahami ancaman yang dibawa oleh PKM ke atas Malaysia, Thailand telah membenarkan operasi menentang PKM oleh Malaysia untuk memasuki sempadan negara tersebut.


Pada masa yang sama, pasukan keselamatan negara pernah ditempatkan di daerah Betong untuk memudahkan serangan dilancarkan ke atas PKM. Namun, penempatan ini tidak berlanjutan lama kerana PKM melalui Min Yuen telah berjaya mempengaruhi penduduk tempatan untuk membantah penempatan tersebut.


Pemberontakan PKM juga telah tamat dengan bantuan Thailand. Thailand telah secara unilateral bertindak menghubungi kedua-dua kerajaan Malaysia dan Pulitburo PKM untuk merencanakan perjanjian damai yang berakhir dengan perletakan senjata PKM pada tahun 1989 di Hadyai.


Perletakan senjata PKM merupakan rancangan serampang dua mata di pihak Thailand. Pertama adalah untuk mengurangkan satu daripada beberapa kumpulan bersenjata yang beroperasi di selatan Thailand. Kedua adalah kerana Kerajaan Thailand mendapat tahu bahawa PKM telah berjaya menarik perhatian penduduk Melayu Selatan Thailand untuk menyertai PKM dengan janji bahawa setelah membantu PKM menawan Malaysia, PKM akan membantu mereka mendapatkan kemerdekaan bagi wilayah-wilayah majoriti Melayu di Selatan Thailand.


Hari ini, Thailand masih menghadapi ancaman daripada beberapa puak pemisah yang beroperasi di Selatan Thailand. Ancaman daripada puak pemisah ini amatlah merisaukan kedua-dua Kerajaan Thailand dan Kerajaan Malaysia. Apatah lagi, sekurang-kurangnya satu daripada kumpulan pemisah ini dipercayai ingin mendapatkan kemerdekaan bagi wilayah Selatan Thailand dan menyertai Malaysia. Pada 31 Ogos tahun lepas, kumpulan pemisah ini bertindak mengibarkan Jalur Gemilang di kawasan operasi mereka.


Tindakan kumpulan militan ini mengibarkan Jalur Gemilang mempunyai dua tujuan. Bangkok akan menuduh Kuala Lumpur sebagai dalang di sebalik kumpulan ini dan bertindak agresif ke atas Malaysia ataupun warga Malaysia di Thailand. Tindak balasnya Malaysia akan membantu kumpulan militan ini.


Namun, perancangan kumpulan militan ini bakal digagalkan sekiranya kerjasama antara Bangkok dan Kuala Lumpur dalam merencanakan pelan damai Selatan Thailand dengan kumpulan pemisah Barisan Revolusi Nasional berjaya.


Vietnam


Malaysia dan Vietnam tidak berkongsi sempadan darat. Tetapi kedua-dua negara berkongsi sempadan laut. Perkongsian ini telah melibatkan beberapa tuntutan bertindih, terutamanya sekitar kepulauan Spratley.


Semasa era Insurgensi, dipercayai sama ada anggota PKM telah dihantar ke Vietnam Utara untuk mempelajari teknik perang dengan Vietcong, ataupun anggota Vietcong telah dihantar untuk melatih anggota Vietcong. Hasil kerjasama ini dapat dilihat apabila PKM mula menggunakan jerangkap samar secara meluas untuk menentang pasukan keselamatan.


Pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia telah meminjamkan kepada Amerika Syarikat dan kerajaan Vietnam Selatan Tan Sri CC Too untuk membantu perancangan perang psikologi ke atas Vietnam Utara. Selain itu, Kerajaan Malaysia turut telah membekalkan peralatan perang kepada kerajaan Vietnam Selatan.


Selain bantuan peralatan perang dan kepakaran Tan Sri CC Too, terdapat juga maklumat yang mengatakan bahawa pasukan Senoi Praaq milik PDRM juga pernah dipinjamkan kepada AS untuk dioperasikan bersama pasukan khas AS.


Vietnam Hari Ini


Masalah tuntutan bertindih dengan Vietnam sehingga ke hari ini tidak serumit tuntutan bertindih dengan beberapa buah negara lain. Malahan kedua-dua Malaysia dan Vietnam telahpun bersetuju untuk menggunakan kaedah yang dinyatakan di dalam Perkara 76 UNCLOS (United Nations Convention on the Law of the Seas).


Kerajaan Vietnam sehingga ke hari ini menunjukkan kepimpinan pragmatik. Mengenali risiko yang dibawa akibat bersempadan dengan China, mereka telahpun mula mengorak langkah membaiki hubungan diplomatik dengan AS, musuh ketat mereka semasa Perang Vietnam.


Oleh itu, dalam konteks yang sama Vietnam mungkin sekali tidak akan bersikap agresif terhadap Malaysia pada masa yang terdekat kerana mereka sedang membina hubungan untuk mendapat sekutu sekiranya China bertindak agresif ke atasnya.


China


Hubungan Malaysia – China agak unik. Sejumlah hampir 30 peratus rakyat Malaysia merupakan kumpulan etnik yang berasal dari China. Hubungan ini telahpun bermula semenjak zaman pra-Melaka lagi, apabila I-Ching, seorang sami Buddha dari China semasa Dinasti Tang telah tiba di Palembang, Srivijaya ketika itu untuk pertapaan (Biarpun Palembang adalah sebahagian daripada Indonesia, putera raja yang menubuhkan Melaka, iaitu Parameswara adalah putera Srivijaya yang berasal dari Palembang.).


Semasa PKM bertindak mengganas di Semenanjung Malaysia, China bukan sahaja telah menyokong PKM dari segi moral dan kewangan. Malahan, Parti Komunis China juga telah memberi bantuan dari segi latihan dan anggota perubatan. Terdapat beberapa rekod bahawa anggota perubatan berpengalaman semasa perang di China telah dihantar untuk membantu PKM di Semenanjung Malaysia sebelum 1970-an. Bantuan berupa anggota ini dipercayai ditamatkan apabila ramai anggota ini dipercayai telah dibunuh oleh anggota PKM sendiri semasa gerakan pembersihan diarahkan oleh Chin Peng untuk membersihkan PKM daripada perisik dari Cawangan Khas dan ATM.


Namun, China tetap terus memberi sokongan kepada PKM dengan membenarkan Politburo PKM beroperasi di Beijing. Malahan, PKM turut diberi bantuan untuk mengoperasikan sebuah stesen radio di situ.


China Hari Ini


Saban hari apabila membincangkan pembangunan ketenteraan oleh China, pasti ada penganalisa yang menunjukkan bahawa semenjak 1400 sehingga ke hari ini, biarpun China pernah menghantar armada besar dipimpin oleh Laksmana Ang Cheng Ho ke Melaka, tidak pernah lagi cuba menjajah Tanah Melayu, ataupun Malaysia hari ini.


China ketika itu tidak mempunyai sebarang tuntutan bertindih secara rasmi dengan mana-mana negara. Persempadanan kurang jelas ketika itu juga banyak membantu mengurangkan tuntutan bertindih ketika itu.


Tetapi China hari ini adalah berbeza. Dengan China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, adalah amat merisaukan dengan peningkatan keupayaan kuasa besar ini.


China telah mencabar tuntutan Filipina ke atas Scarborough Shoal dengan menduduki Scarborough Shoal dan membina sebuah pengkalan di situ.


Pada 27 Mac 2013, PLA – Navy telah melaksanakan satu latihan operasi dengan 4 buah kapal dengan pasukan infantri di James Shoal yang dituntut oleh Beijing, yang hanya terletak 80km dari pantai Sarawak dan berada betul-betul dalam kawasan zon ekonomi ekslusif Malaysia.


Tindakan Beijing ini bukan sahaja tidak dilaporkan di mana-mana akhbar tempatan, yang telah memfokuskan berita mereka terhadap pilihanraya umum ke-13 negara dan juga isu Lahad Datu.


Adakah China bersedia melancarkan serangan untuk mempertahankan tuntutannya? Vietnam telah merasa penangan Beijing pada tahun 1988 apabila sebuah ketumbukan tentera dari China telah bertempur dengan tentera Vietnam dan menawan Johnson South Reef yang ketika itu telahpun dikuasai oleh Vietnam. Lebih 70 tentera Vietnam telah terkorban dalam pertempuran tersebut.


Jikapun negara kita bersedia menghadapi ancaman perang dari China dari segi peralatan ketenteraan yang canggih, keupayaan negara kita, dan kebanyakan negara di rantau ini untuk menghadapi ancaman China telahpun dikompromi akibat penggunaan peralatan sistem wifi yang kebanyakannya dibekalkan oleh dua syarikat pembuat peralatan sistem wifi utama sedunia, iaitu Huawei dan ZTE.


Dalam usaha untuk memajukan sistem telekomunikasi negara, kebanyakan syarikat telekomunikasi dalam negara telah memilih untuk membeli peralatan sistem wifi daripada Huawei. Malahan, hampir setiap pakej wireless mudah alih yang ditawarkan oleh kesemua pembekal sistem jalur lebar mudah alih negara disertakan dengan peralatan wireless buatan Huawei sama ada dalam bentuk USB ataupun dongle.


Risiko ini bukan sahaja dihadapi oleh Malaysia. Risiko yang sama telah dikenalpasti oleh kerajaan Amerika Syarikat dan Australia yang kini tengah mengkaji sama ada keupayaan pertahanan dan ekonomi mereka telah terdedah kepada ancaman daripada China.


Amerika Syarikat dan Australia percaya bahawa peralatan yang dibekalkan oleh ZTE dan Huawei memiliki apa yang dikenali sebagai backdoor access yang akan memudahkan PLA dan China untuk mengintip maklumat yang disalurkan melalui sistem wifi buatan syarikat-syarikat tersebut. Antara negara yang turut telah mengambil tindakan ini adalah India dan Kanada. Terbaru (Jun 2012), Shane Todd, seorang jurutera komunikasi warga Amerika Syarikat telah dijumpai meninggal dunia di rumahnya di Singapura dalam keadaan mencurigakan. Laporan asal kematiannya telah diumumkan sebagai kematian akibat bunuh diri. Namun, aduan daripada keluarganya mengatakan bahawa si mati telah mengadu bahawa mendiang risau bahawa kerjanya di Singapura kemungkinan telah digunakan oleh Huawei meningkatkan ancaman terhadap negaranya. Antara bukti yang dikemukakan keluarga mendiang adalah tulisan pada nota bunuh diri mendiang bukan tulisan tangan mendiang dan laporan polis mengenai keadaan lokasi mendiang ditemui mati. Keluarga mendiang mendakwa terdapat kejanggalan pada laporan keadaan lokasi tempat kejadian menunjukkan seolah-olah polis tidak pernah menyiasat lokasi tersebut. Suatu inkuiri dalaman tertutup bakal bermula Mei 2013 di Amerika Syarikat kerana Polis Singapura sehingga ke hari ini masih lagi tidak berganjak daripada tuduhan bahawa siasatan lengkap tidak dilakukan (Mendiang pada ketika itu sedang bekerja dengan sebuah syarikat milik kerajaan Singapura yang dipercayai sedang menjalankan ujikaji bagi pihak Huawei. Sekiranya dibuktikan bahawa mendiang telah dibunuh akibat kerjanya beliau, kerajaan Singapura berdepan risiko dilihat sebagai sekutu yang tidak boleh dipercayai oleh Amerika Syarikat. ) .


Malaysia – Ancaman Dari Pelbagai Arah (Perlu dinyatakan bahawa tiada analisa dibuat terhadap ‘ancaman’ daripada Brunei. )


Penulis berharap, selepas anda membaca analisa penulis ini, anda akan bangun daripada tidur anda dan menghadapi realiti dunia kita hari ini. Sudah lama kita tertidur dan penulis betul-betul berharap, kita tidak terlambat dalam membina kekuatan pertahanan kita secara mutlak.


Untuk analisa kali ini, biarlah penulis akhiri dengan kata-kata berikut yang telah dikongsikan dalam forum gempurwira versi facebook.


Adakah anda membeli payung sebelum hujan tiba ataupun selepas hujan tiba?


Adakah anda membeli insurans untuk kanser sebelum atau selepas mendapat kanser?


Adakah anda membeli peralatan perang canggih sebelum ataupun selepas perang diisytiharkan?


Prinsipnya kekal sama. Kita perlu membuat keputusan apa yang terbaik bagi diri kita; payung macam mana, panjang atau pendek, atau insurans daripada syarikat mana dengan bayaran premiumnya, dan peralatan perang yang mana sesuai dengan keperluan kita.


4 ulasan:

  1. sngat membantu sy dlm pengajian am ..trma kasih

    BalasPadam
  2. Mmg sgt membantu untk kursus sejarah sye yg akn dtg.. terima kasih kpd pembuat blog ini..

    BalasPadam