Isnin, 6 Julai 2009

Mencari pengganti Condor dan Sibmas, pilihan buatan OIC?



Al-Fahd, kenderaan perisai beroda buatan Arab Saudi. Foto Military-Today.com



Kenderaan perisai beroda buatan Indonesia Panser Anoa APS. Foto Alutsista.com


Keperluan penggantian kenderaan perisai TD iaitu Condor dan Sibmas merupakan antara keperluan modenisasi TD yang akan dilaksanakan sebelum 2o20. TD sendiri telah mula menubuhkan pasukan projek yang ditugaskan mengenalpasti jenis dan fungsi yang bakal dimainkan oleh aset terbaru TD jika dibeli kelak. Antara spesifikasi yang dikenalpasti berdasarkan kepada laporan majalah pertahanan tempatan seperti Perajurit dan Tempur adalah TD memerlukan kenderaan 6x6 dan 8x8, bukan lagi versi 4x4 sebagaimana Condor.

Kenapa 6x6 dan 8x8? Kajian mendapati bahawa kenderaan versi ini lebih stabil dan memiliki daya mobiliti yang lebih baik berbanding 4x4. Selain itu, saiznya juga lebih sesuai bagi membawa bebanan tempur dan boleh dipadankan dengan pelbagai sistem senjata yang lebih berkuasa tinggi. Keperluan tempur zaman moden juga memerlukan kelengkapan dalaman setiap kenderaan dipasang dengan sistem penapisan biologi, nuklear dan kimia (NBC), sistem komunikasi terkini, sistem penyaman udara dan enjin berkuasa tinggi dan boleh diharapkan (mudah diselenggara). Sistem armor kenderaan ini mampu menahan tembakan mesingan sehingga 12.7mm atau 7.62mm dan serpihan tembakan meriam. Selain itu, antara keperluan kenderaan perisai masa kini juga adalah boleh bertahan daripada serangan bom tepi jalan atau IED dan periuk api.

Jika dilihat pada jumlah Condor sekitar 450 buah, dan Sibmas dengan jumlah 150 buah, bermakna jika proses penggantian, kosnya pasti amat tinggi. Maka, TD berkemungkinan akan meletakkan jumlah yang diperlukan mungkin sekitar 200 buah sahaja. Ini pun satu jumlah yang boleh dianggap paling realistik, sebagaimana pembelian 211 buah Adnan AIFV pelbagai variasi bagi keperluan Unit Mekanis TD.

Persoalan utama adalah peranan yang dimainkan oleh kenderaan perisai beroda ini sendiri? TD telah mula menggunakan MIFV dan Adnan yang merupakan kenderaan perisai berunut. Sistem ini memiliki beberapa kelebihan antaranya boleh digandingkan dengan aset armor TD iaitu Pendekar kerana kelebihan tahap mobiliti yang dimiliki menggunakan runut.


Fungsi AIFV beroda dalam TD
Ini antara fungsi yang diaplikasikan oleh AIFV beroda TD, bagaimanapun, ada pelbagai fungsi boleh dimainkan sesuai dengan keperluan operasi semasa.

1. Kenderaan pengangkut untuk anggota mekanis TD
2. Tugasan tinjauan medan
3. Pasukan tembakan sokongan
4. Pasukan perlindungan sisi pertempuran
5. Kawalan konvoi
6. Misi pengaman

Antara calon-calon yang ada di pasaran untuk program penggantian adalah seperti berikut :

1. FNSS Pars
2. Mowag Piranha IIIC
3. Fiat-Iveco Puma
4. Steyr Pandur I/II
5. Patria AMV
6. BTR-80/90
7. Nexter VBCI
8. KMW Boxer MRAV
9. Fiat-Iveco Centauro VBC

Bagaimanapun, masa kini TD juga mempunyai pilihan untuk meneroka produk buatan negara Islam sendiri yang juga turut mengeluarkan AIFV beroda. Antara yang di pasaran :-

Al Fahd

Dibangunkan oleh Arab Saudi dan Pengawal Negara Arab Saudi memesan 100 buah AIFV ini untuk kegunaan mereka.

Data spesifikasi


Berat Tanpa Muatan : 16.3 tan.

Enjin : Deutz V10 Diesel

Kuasa enjin : 400 kuasa kuda

Had laju maksimum : 90km/h

Jarak maksimum : 600 km

Varian : AFRV dan APC

Al-Fahd boleh bergerak dalam kelajuan sehingga 90km sejam pada jarak sehingga 600km. Manakala, mampu melintasi curaman sehingga 80 peratus atau curaman sisi 55 peratus. Sistem NBC dan hawa dingin adalah standard, ada opsyen amfibia dan sistem pemadaman api manual, tetapi opsyen automatik boleh dipasang jika dikehendaki. Armor kenderaan ini adalah besi aloi pelbagai lapisan dan diperkuatkan dengan pelbagai tahap material Kevlar bagi memastikan perlindungan tambahan kepada anggota di dalamanya. Ini membolehkan Al-Fahd menahan serangan hadapan sehingga serangan kaliber 14mm dari jarak 300 meter, 7.62mm dari jarak 25 meter. Sistem suspensi yang menggunakan gas dan hidraulik memberikan perjalanan yang selesa kepada penggunanya.

Pindad Panser Anoa

Data spesifikasi

Berat Tanpa Muatan : 11 tan

Enjin : Renault MIDR 062045 inline 6 cylinder turbo-charged diesel

Kuasa enjin : 320 kuasa kuda

Had laju maksimum : 90km/h

Jarak maksimum : 600 km

TNI-AD baru menerima 40 unit Panser Anoa untuk kegunaan mereka. Reka bentuk Panser Anoa menyerupai VAB buatan Perancis. Armor kenderaan ini dikatakan mengikut standard Stanag 4569 Level 3 bermakna mampu menahan serangan senjata kaliber 7.62mm penembus armor. Sistem suspensinya pula suspensi bebas palang torsion. Bangladesh dan Nepal berminat mendapatkan Panser Anoa untuk kegunaan mereka. Tetapi PT Pindad dikatakan ingin fokus memenuhi keperluan TNI-AD sebelum meneroka pasaran luar secara serius.

Sekiranya TD berminat meneroka peluang menggunakan sistem kenderaan perisai negara-negara Islam ini, wujud peluang untuk Malaysia memperolehi faedah jangka panjang. Kerjasama pemindahan teknologi atau pengeluaran bersama adalah satu kemungkinan. Malaysia memiliki industri automatif yang dianggap maju dan keupayaan Proton menghasilkan enjinnya sendiri membuktikan Malaysia mampu meneroka bidang pengeluaran enjin kapasiti tinggi untuk kegunaan kenderaan-kenderaan ini.

Memandangkan kedua-dua kenderaan ini menggunakan enjin daripada negara Eropah, masih wujud kekangan jika ada sebarang sekatan dilaksanakan ke atas mana-mana negara Islam. Tetapi jika Malaysia menawarkan kepakaran dan menghasilkan enjin untuk platform-platform tersebut, pastinya faedah bersama dapat dinikmati.

Selain itu, sistem elektronik seperti BMS juga boleh dibangunkan secara bersama dalam usaha memantapkan industri pertahanan negara-negara Islam, selain Arab Saudi dan Indonesia, kerjasama ini juga boleh dibuat dengan Turki dan Pakistan. Melalui satu konsortium yang ditubuhkan antara negara-negara ini, tidak mustahil, produk yang dibangunkan boleh berdaya saing dengan produk-produk Barat sendiri.

Jika ini dapat direalisasikan bukan sahaja APC, malahan kereta kebal, meriam, peluru berpandu dan sebagainya akan dapat dibangunkan secara komersial, Malaysia pula akan mendapat faedah yang besar di mana peranan sebagai pemasaran dan sebagainya boleh diambil melihat kepada hubungan baik Malaysia dengan semua pihak.

2 ulasan: