Rabu, 10 Jun 2009

Bunga Mas 5, kerjasama pintar pihak swasta dan tentera


Krisis lanun di Teluk Aden yang mengakibatkan dua buah kapal kontena MISC dirampas lanun telah membuka lembaran baru kepada TLDM. Aset-aset TLDM buat pertama kali dioperasikan ribuan kilometer daripada pengkalan utamanya dalam membantu menyelesaikan krisis tersebut. Tidak dinafikan kejayaan TLDM beroperasi pada jarak ribuan kilometer daripada negara membuktikan keupayaan TLDM dalam melaksanakan operasi bersifat jarak jauh. Bagaimanapun, kita sedia maklum kuantiti aset-aset permukaan TLDM yang amat terhad bermakna keperluan utama TLDM mengawal dan mempertahankan perairan negara lebih kritikal dan ini bermakna, operasi berterusan di Teluk Aden bukanlah sesuatu dalam jangkauan TLDM sendiri.


KD Sri Inderapura yang kini ditugaskan di Teluk Aden amat diperlukan dalam menyokong operasi semasa TLDM di tanah air. Khidmat kapal ini akan berakhir pada 20 Jun 2009 dan satu usaha mencari pengganti diperlukan. Ini telah membawa kepada satu inisiatif melibatkan MISC dan TLDM di mana sebuah kapal kontena dikenali dengan nama Bunga Mas 5 dimodifikasi kepada kapal auxillary TLDM. Kapal kontena pada saiz 699 TEU ini dilengkapkan dengan geladak pendaratan helikopter bersaiz Super Lynx dan juga kemudahan dan peralatan sokongan bagi anggota TLDM termasuk anggota pasukan khas iaitu Paskal dalam melaksanakan operasi kawalan bersama di Teluk Aden.


Seharusnya, inisiatif ini tidak berhenti di sini, sewajarnya kepimpinan TLDM meneroka sebarang kerjasama dengan pihak swasta dalam mencari alternatif bagi memantapkan kesediaan dan siapsiaga TLDM dalam mengharungi cabaran semasa mengawal perairan negara. Kerjasama yang rapat antara TLDM dan pihak swasta akan memberikan satu pendedahan kepada rakyat tentang peri pentingnya agenda pertahanan kepada negara.
Dalam masa yang sama, dapat dilihat keperluan aset permukaan TLDM amatlah kritikal. Projek NGPV satu usaha penggantian kapal-kapal ronda TLDM yang pada asalnya dijadualkan berjumlah 27 buah tidak selancar yang diharapkan. Sehingga kini, hanya 3 buah Kelas Kedah telah ditauliahkan dan adalah dijangkakan 3 buah lagi Kelas Kedah bakal diperolehi selewatnya 2010/2011.
Adalah diharapkan kerajaan akan memberikan perhatian serius untuk memastikan TLDM memiliki jumlah aset yang optimal dalam melaksanakan tugasannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan